suria

Kerajaan BN Sentiasa Sokong Aktiviti Perniagaan - Muhyiddin

KOTA SENTOSA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menyokong aktiviti perniagaan di negara ini sebagai sebahagian daripada dasar bagi memastikan kestabilan politik dan suasana kondusif untuk komuniti peniaga tempatan.

Beliau berkata pembangkang yang berhasrat menukar kerajaan di Sarawak akan hanya membawa masalah kepada rakyat, kerana BN yang berpengalaman dalam mentadbir negara, membuktikan bahawa dasarnya yang konsisten membantu memudahkan aktiviti perniagaan melalui pelbagai insentif.

"Apabila orang berkata mari tukar kerajaan, rakyat, terutamanya ahli perniagaan, mesti memikirkan dengan teliti kerana ia tidak baik untuk ekonomi," katanya semasa tinjauan mesra di pasar Kota Sentosa.

Di pasar itu, Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga dan penjaja selain menikmati laksa Sarawak serta kuih muih tempatan sebagai sarapan pagi. Antara kuih yang dihidang ialah 'kuih bungkol' dan 'cerolot', sejenis kek kukus, yang mengandungi tepung beras, gula nipah dan santan yang dibungkus dalam daun nipah.

Mengiringi timbalam perdana menteri ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda Perkhidmatan Komuniti Sarawak Datuk Peter Nansian, Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Dr Jerip Susil, Presiden Dewan Bersekutu Perniagaan dan Industri Cina Sarawak Datuk Wee Kok Tiong, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang dan Setiausaha Agung Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Wilfred Yap.

Muhyiddin berkata kestabilan kerajaan BN telah menyediakan suasana yang kondusif untuk peniaga di Sarawak menjalankan perniagaan mereka selain menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan kerajaan persekutuan RM500,000 untuk menaiktaraf kemudahan di dataran mini bandar Kota Sentosa.

Ketika mengucapkan terima kasih kepada timbalan perdana menteri atas peruntukan itu, Lo berkata projek seluas 3,000 meter persegi di bawah majlis perbandaran itu dijangka siap menjelang akhir tahun bagi memberi kemudahan kepada pengguna dan aktiviti kebudayaan di Kota Sentosa dan kawasan sekitarnya.

Dataran mini bandar itu juga merupakan venue bazar Ramadan serta konsert mini, tarian kebudayaan dan aktiviti senaman tradisional seperti Tai Chi, katanya.

Sementara itu, Jenny Voon, 26, dan abangnya, James, 27, yang mendaftar sebagai pengundi di Stampin, berkata mereka mengambil peluang ini bergambar bersama Muhyiddin sebagai tanda sokongan kepada BN. BERNAMA

Artikel Lain