suria

Karier Politik Nasha Dalam PAS Sudah Berakhir - Penganalisis Politik

PETALING JAYA: Keputusan Majlis Syura Ulama PAS memecat Nasharudin Mat Isa daripada badan tertinggi parti itu dilihat sebagai langkah terbaik menyekat pengaruh beliau di kalangan ahli dan penyokong parti berkenaan.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tindak-tanduk Nasharudin yang kerap mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan parti menimbulkan kerisauan di kalangan pucuk pimpinan parti itu sekiranya turut mendapat sokongan di kalangan ahli akar umbi parti itu.

"Nasharudin seperti penyakit kencing manis, makin lama dia makin merebak. Jadi apabila PAS takut tindakan Nasharudin mempengaruhi penyokongnya dalam parti itu akan lebih besar dan kuat, maka mereka singkirkan beliau (daripada memegang jawatan).

"Jadi apabila Nasharudin sudah tidak berjawatan, hanya ahli biasa...maka taringnya, kuasanya sudah hilang," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Media sebelum ini melaporkan Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok digugurkan daripada keanggotaan Majlis Syura Ulama pada mesyuaratnya 13 Januari lalu yang dipengerusikan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Majlis Syura Ulama dalam alasan pemecatan menyatakan, Nasharudin terpaksa digugurkan kerana beliau kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan ketetapan majlis berkenaan.

Ahmad Atory berkata, keputusan Majlis Syura Ulama itu juga membuktikan bahawa PAS menolak amalan untuk berbaik-baik dengan kalangan yang tidak sealiran dengan mereka.

"Bagi PAS, berbuat-buat baik dengan musuh politik bukanlah satu etika yang baik.

"Digambarkan bahawa ahli-ahli PAS tidak boleh berbaik-baik atau berkawan dengan kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka...ini seolah-olah menjadi prinsip PAS dari dahulu lagi," katanya.

Sementara itu Ahmad Atory menjangkakan bahawa masa depan Nasharudin dalam politik bersama PAS sudah tertutup berdasarkan perkembangan terbaru termasuk tidak disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

"Jalur politik Nasharudin dalam PAS sudah tertutup. Bagi PAS beliau sudah tidak relevan sama sekali.

"Tapi itu tidak bermakna karier politiknya akan musnah. Keadaan akan menentukan senario politik semasa termasuk masa depan Nasharudin," katanya.