suria

Gangguan Perkhidmatan KTM Intercity Di Sektor Selatan

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membatalkan beberapa perkhidmatan tren KTM Intercity sektor selatan bermula Isnin sehingga 31 Januari.

KTMB dalam satu kenyataan berkata gangguan perkhidmatan itu bagi memberi laluan kerja membaik pulih landasan yang giat dijalankan sejak semalam dan dijangka siap sepenuhnya pada Khamis ini.

Perkhidmatan tren yang dibatalkan ialah Ekspres Sinaran Sutera No. 13 dari Stesen Sentral Kuala Lumpur ke Woodlands, Singapura; Ekspres Senandung Sutera No. 24 dari stesen Woodlands ke Stesen Sentral Kuala Lumpur serta dua tren shuttle iaitu Shuttle No. 61 dari stesen Gemas ke stesen Woodlands dan Shuttle No. 64 dari Woodlands ke stesen Gemas.

Menurut kenyataan itu Shuttle 91 dari Kuala Lipis ke Woodlands dan Shuttle 92 dari Woodlands ke Kuala Lipis hanya akan beroperasi dari stesen Kuala Lipis hingga stesen Gemas sahaja.

Kesemua perkhidmatan tren yang menuju ke selatan ditamatkan di Stesen Kluang.

Menurut kenyataan itu lagi penumpang ke stesen Kulai, Kempas Baru dan JB Sentral akan dipindahkan melalui bas perantaraan ke destinasi masing-masing dan sebaliknya.

Bagi penumpang yang membuat perjalanan ke Woodlands, Singapura akan dibawa ke stesen JB Sentral dengan menaiki bas sebelum menaiki tren shuttle yang disediakan dan sebaliknya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad menerusi talian 1-300-88-5862. BERNAMA

Artikel Lain