suria

Ancaman Militan Di Asia Tenggara Berkurangan - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pada keseluruhannya ancaman militan Islam di Asia Tenggara telah berkurangan dengan ketara hasil daripada usaha-usaha negara lain di rantau itu.

Beliau berkata kerjasama antara Malaysia dan negara lain termasuk Indonesia dan Filipina telah membantu menangani kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

"Saya fikir kebanyakan daripadanya (negara-negara) bersama-sama kami. Saya fikir kami telah berjaya menangani kumpulan radikal Islam" katanya pada sesi bertajuk 'An Insight, An Idea with Mohd Najib Tun Abdul Razak', yang disiarkan CNN pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Dalam wawancara 30 minit yang dikendalikan Fareed Zakaria, Perdana Menteri turut menyentuh penglibatan Malaysia menjadi perantara rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan penghantaran tentera untuk mengetuai pasukan pemantau perdamaian antarabangsa di rantau itu.

Pada Oktober lepas, kerajaan Filipina menandatangani perjanjian dengan MILF, yang telah berjuang lebih 40 tahun dan meragut kira-kira 120,000 nyawa.

"Ini bermakna potensi seluruh kawasan itu dijadikan sasaran puak radikal, dikaitkan dengan Al-Qaeda secara langsung atau melalui pelbagai kumpulan, telah dihapuskan.

"Itu merupakan sumbangan besar ke arah keamanan dan pewujudan Islam lebih sederhana di Asia Tenggara," kata Najib. Beliau menegaskan walaupun di masa lalu terdapat tindakan bersifat militan yang "tidak dapat dielakkan", tugas pada masa kini ialah mengadakan perbincangan dengan golongan fundamentalis Islam dan memujuk mereka untuk mengamalkan pendekatan Islam sederhana.

Sementara itu, mengulas lawatan beliau ke Gaza, Najib berkata beliau secara peribadi dan juga dalam ucapannya memberitahu Hamas bahawa kunjungan beliau itu atas sebab kemanusiaan dan misi keamanan.

"Saya datang bukan untuk memihak kepada Hamas. Saya datang bukan untuk campur tangan dalam politik dalaman.

"Saya datang dengan satu misi dan pada asasnya untuk memberitahu mereka... anda perlu bersatu dan membentuk sebuah kerajaan perpaduan. Sebaik sahaja anda membentuk kerajaan perpaduan, selepas itu anda patut berunding dengan Israel," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain