suria

Dakwaan Pelajar Dipukul Pegawai HEP Perak Disiasat - Zambry

TAIPING: Kerajaan negeri akan mendapatkan laporan terperinci dakwaan mengenai seorang pelajar di Mesir dipukul oleh pegawai hal ehwal pelajar (HEP) Perak yang dimaklumkan melalui satu memorandum yang dihantar ke pejabat itu, Jumaat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau telah mengarahkan seorang pegawai pergi ke Mesir untuk mendapatkan maklumat lanjut dan tinjauan berhubung dakwaan itu.

"Mengenali pegawai tersebut beliau merupakan seorang yang lemah lembut...mungkin apa yang berlaku berada di luar kesabarannya. Apa pun kita perlu tunggu laporan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Kasih Sayang dan Mesra Jiran Komuniti 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan di Kompleks Rakan Muda di Kamunting, di sini Sabtu.

Pada Jumaat, Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir Perak (ILMAM) dan Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) menyerahkan memorandum yang mendakwa berlaku salah laku pegawai HEP Perak di Mesir kepada wakil pejabat Menteri Besar.

Berhubung desakan supaya pegawai berkenaan dihantar pulang, beliau tidak mahu membela mana-mana pihak sebaliknya kerajaan negeri perlu mendapatkan laporan penuh mengenai kejadian yang berlaku itu, katanya.

Mengenai rangka kerja sehari ke Parlimen Taiping hari ini, Zambry berkata kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah penempatan setinggan masyarakat di Rancangan Perumahan Tersusan (RPT) Ulu Tupai di sini yang berada dalam keadaan cukup daif.

"Kita juga mendapat peruntukan RM3 juta untuk tujuan kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan seluas kira-kira 14 hektar itu," katanya.

Beliau turut menyerahkan replika cek bernilai RM3 juta kepada penduduk kampung berkenaan selain merasmikan majlis pecah tanah pembinaan semula rumah di situ yang akan dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Terdahulu dalam ucapannya pada perhimpunan itu Zambry berkata unsur persefahaman, perpaduan dan keamanan sentiasa ditekankan Barisan Nasional (BN) kepada seluruh rakyat kerana jika sekali kesemua itu 'patah' maka ia akan sukar untuk disambung semula.

"Semua ini perlu dibina dengan kasih sayang sesama kita, ini soal hati kita sebagai rakyat Malaysia...ia tidak boleh disolek-solek," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain