suria

Projek Kondomunium Dekat Batu Caves Batal

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan membatalkan pembinaan projek kondominium Dolomite Park Avenue berhampiran Batu Caves, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama jawatankuasa bebas yang telah mengkaji dan menilai projek pembinaan itu, Selasa lepas.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu, Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah membentangkan secara terperinci mengenai status pembinaan struktur dan tahap keselamatan pembangunan kondominium berkenaan.

"Selepas mendengar penjelasan itu, saya membuat keputusan supaya Majlis Perbandaran Selayang membatalkan kebenaran merancang yang telah diberi kepada Dolomite Properties Sdn Bhd untuk pembinaan kondominium Dolomite Park Avenue," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Cadangan projek setinggi 26 tingkat itu mendapat bantahan kerana didakwa boleh melemahkan struktur tanah kuil Hindu di Batu Caves yang terletak di kawasan batu kapur.

Berikutan itu, kerajaan negeri melantik lima profesional penghujung tahun lalu bagi menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti projek kontroversi berkenaan.

Sementara itu, dalam reaksi spontan, Dolomite Properties melahirkan rasa terkejut dengan keputusan tersebut.

"Kami tidak diberi peluang membentangkan kes kami atau penemuan kami... atau telah kita dapat mengkaji penyelidikan yang dibentangkan oleh Jabatan Perancangan Bandar untuk ketepatan dan perbincangan lanjut," katanya dalam kenyataan.

"Kami masih berharap untuk dapat mencari penyelesaian secara baik dan kami akan meneroka semua pilihan termasuk saluran undang-undang untuk mendapatkan keputusan yang adil," katanya. -- BERNAMA

Artikel Lain