suria

Mahkamah Tolak Permohonan FAM Batalkan Saman Annuar Musa

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menolak dengan kos permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Tan Sri Annuar Musa berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM.

Hakim Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu di dalam kamarnya.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata hakim menolak permohonan itu selepas mendapati permohonan yang dibuat oleh anak guamnya mempunyai asas.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 25 Februari ini untuk pendengaran kes itu.

Pada 5 Jun 2012, Annuar selaku plaintif memfailkan saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzudin Ahmad sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhkan terhadapnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (berniat jahat).

Beliau berkata Azzudin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua sendiri yang akan mewakili beliau.

Sedangkan katanya Azzudin tidak sepatutnya menjadi wakil beliau kerana defendan kedua adalah pihak yang membuat tuduhan.

Sehubungan itu Annuar menuntut 10 perisytiharan berhubung tindakan FAM yang membawa kepada penggantungan beliau, antaranya ialah pertuduhan FAM terhadap beliau dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.

Annuar juga mendakwa perbicaraan tatatertib pada 4 April 2012 dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya (5 April 2012) tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.

Selain itu, beliau memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kesemua tindakan yang membawa kepada penggantungan beliau itu tidak mematuhi status dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.

Annuar turut memohon perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan lain-lain jawatan serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.

Pada 4 April 2012, Annuar dikenakan hukuman gantung 30 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas jawatankuasa itu mendapati beliau bersalah membuat kenyataan akhbar negatif mengenai skuad bola sepak negara pada 12 Februari 2012.

Akibat hukuman itu, Annuar tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti badan induk bola sepak negara, serta aktiviti Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di mana beliau adalah Presiden. - BERNAMA

Artikel Lain