suria

Kes Sosilawati: Kathavarayan Nafi Terima Upah RM30,000

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh jutawan komestik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, menafikan dia menerima RM30,000 daripada tertuduh pertama, N.Pathmanabhan sebagai upah bagi 'kerja-kerja' dilakukan pada malam kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

R.Kathavarayan, 33, membuat penafian itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat.

Dalam keterangannya sebelum ini, tertuduh keempat berkata dia menerima RM30,000 dari Pathmanabhan pada 3 September 2010 untuk menyiapkan kerja pembinaan di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting.

Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 44, T.Thilaiyalagan, 22, dan R.Matan, 23, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kathavarayan seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin sebenarnya telah dibunuh pada 30 Ogos 2010 antara 8.30 malam dan 9.45 malam dengan cara ditikam di tengkuk oleh Thilaiyalagan.

Tertuduh keempat juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa Thilaiyalagan telah menutup muka keempat-empat individu itu dengan tuala sebelum menikam mereka.

"Awak ada dengar Pathmanabhan beritahu Thilaiyalagan bunuh Sosilawati dulu sebab dia nak tengok Sosilawati mati depannya," kata Ishak, dan Kathavarayan menjawab tidak setuju.

"Saya katakan awak, Thilaiyalagan, Matan, U.Suresh dan S.Sarawanan telah angkat mayat empat orang ini yang telah ditikam dan diletakkan di atas susunan kayu untuk dibakar," kata Ishak.

"Tidak setuju," jawab tertuduh keempat.

Suresh, 30, dan Sarawanan, 23, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.

Kathavarayan juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa dia telah memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max bernombor pendaftaran WSF 8707 untuk membuang abu mayat empat individu tersebut pada 31 Ogos 2010.

Tertuduh keempat bagaimanapun mengakui bahawa Pathmanabhan telah mengarahkan kenderaan itu dicuci sebelum ia dirampas oleh pihak polis bagi menghilangkan bahan bukti.

Kepada soalan lain Ishak, Kathavarayan berkata Pathmanabhan telah membawa wang tunai kira-kira RM1 juta ke rumahnya (Pathmanabhan) pada pagi 3 September 2010.

"Di pertengahan perjalanan, saya telah diturunkan berhampiran kereta saya dan Pathmanabhan beritahu dia nak serahkan duit di rumahnya," kata tertuduh keempat sambil menambah dia tidak tahu dari mana Pathmanabhan memperoleh wang itu.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, Khatavarayan berkata ketika pertama kali ditunjukkan gambar Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin oleh pihak polis, dia menyatakan tidak mengenali empat individu itu kerana telah diajar oleh Pathmanabhan.

"Maknanya kamu tipu polis," soal Saiful Edris, dan Kathavarayan menjawab "ya".

"Kamu tipu untuk selamatkan diri kamu," soal Saiful Edris, dan tertuduh keempat menjawab "tidak".

"Kalau kamu boleh tipu, maknanya cerita kamu dipukul, disepak, ditendang di dada, dipotong rambut dan diacukan pistol oleh polis pun tidak benarlah," kata Saiful Edris.

"Tidak setuju," jawab Kathavarayan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-100 bersambung pada 30 Januari. BERNAMA

Artikel Lain