suria

Kanak-Kanak Tiga Tahun Ikut Abang Ke Sekolah Maut Kemalangan

PEKAN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas motosikal yang dinaiki bersama dua lagi abangnya terbabit dalam kemalangan di km7, Jalan Pasir panjang-Tanjung Agas, awal pagi Jumaat.

ketika kejadian 7.05 pagi itu, Muhamad Faiskandar Abd Karim, mati di tempat kejadian selepas motosikal yang dikendali abangnya, Marzuki Abd Karim, 17, terbabas dan melanggar sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman, mangsa mengikut abangnya (Marzuki) untuk menghantar seorang lagi abangnya Muhammad Fazal Abd Karim, 11, ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas, dekat sini.

"Tiba di tempat kejadian, Marzuki dikatakan cuba mengelak sebuah penunggang basikal, sebelum terbabas dan melanggar kereta terbabit," katanya di sini.

Beliau berkata mangsa yang duduk dalam bakul motosikal terpelanting dan terjatuh atas permukaan jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Marzuki dan Muhammad Fazal turut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan," kata Yahaya.

Menurutnya, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Pekan dan dibawa pulang ke Kampung Sekukuh, dekat sini, untuk dikebumikan.

Dalam kejadian berasingan, seorang warga emas, Mohamed Ripin Wok, 67, maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di km345 Jalan Raub - Lipis dekat Raub.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 1.10 tengah hari Khamis itu, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai menukar haluan secara mengejut, sebelum dilanggar sebuah motosikal lain dari arah belakang.

Beliau dalam perjalanan dari arah Lipis ke bandar Raub.

"Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raub jam 8.22 malam Khamis," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain