suria

Dakwaan Ancam Bakar Bible: Hishammuddin Gesa Semua Pihak Bertenang

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa semua pihak supaya bersikap rasional dan tenang berhubung dakwaan ancaman untuk membakar Bible versi bahasa Melayu di Pulau Pinang, Ahad ini.

Hishammuddin berkata beliau telah bercakap secara peribadi dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang didakwa mendesak Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi perkataan Allah dan tulisan Jawi dibakar.

"Perkasa menafikan perkara yang telah digembar-gemburkan.

"Dalam keadaan suasana politik dan pilihan raya umum yang semakin memuncak, pelbagai dakwaan tidak berasas ditimbulkan.

"Saya menggesa semua kita supaya bersikap rasional dan tenang serta tidak menggugat ketenteraman awam," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Jumaat.

Ibrahim telah dipanggil untuk disoal oleh polis Pulau Pinang pada Khamis selepas beberapa laporan dibuat terhadapnya berhubung perkara tersebut.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar mengesahkan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang.

Artikel Lain