suria

Pemilik Kilang Bata Maut Ditembak Di Hadapan Rumah

KULIM: Seorang ahli perniagaan dan pemilik kilang membuat bata mati ditembak semasa berjalan untuk masuk ke rumahnya di Jalan Gemilang 1, Taman Gemilang, Lunas, dekat sini awal Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata Low Kah Soon, 38, dipercayai ditembak dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi, ketika berjalan sendirian selepas meletak kereta di sebuah rumah kosong sebelah rumahnya.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, dua lelaki menunggang sebuah motosikal dipercayai berhenti di hadapan rumah ahli perniagaan itu apabila seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arahnya.

Katanya polis yang mendapat panggilan kecemasan tiba di tempat kejadian, memeriksa dan mendapati terdapat satu kesan peluru di bahagian kepala ahli perniagaan itu.

"Polis yakin mangsa mati akibat pendarahan di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. Polis masih menyiasat motif pembunuhan itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain