suria

Pembangkang Ambil Kesempatan Isu RCI Demi Kepentingan Politik - Salleh Tun Said

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat pakatan pembangkang yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang terhadap kemungkinan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di Sabah, buat selama-lamanya.

Menggambarkan pembangkang sebagai oportunis, beliau berkata pembangkang cuma memanipulasi dan mengambil kesempatan daripada keadaan itu demi kepentingan politik dan mencampuri tugas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di negeri ini.

"...yang nyata, Pakatan (pembangkang) bimbang bahawa BN akan menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di Sabah. Sebab itulah mereka mempolitikkan isu ini. Mereka tidak mahu panel RCI menyelesaikan tugas mereka dan menggunakan kenyataan daripada bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk meremehkan keputusan suruhanjaya berkenaan.

"Strategi utama mereka adalah untuk membabitkan Umno," katanya kepada Bernama selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul di sini Khamis.

Salleh, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan Speaker Dewan Undangan Negeri, diminta mengulas forum bermaksud membincangkan RCI anjuran sebuah parti pembangkang di sini Khamis.

Beliau mengulangi bahawa kerajaan BN bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan sama sekali masalah pendatang asing di Sabah yang tiada kesudahannya.

"Jika mereka ikhlas untuk menyelesaikan masalah ini, mereka sepatutnya menyokong RCI untuk menyiapkan tugasnya," katanya.

Selasa lepas, Salleh, yang juga Ketua Umno bahagian Kota Belud mencabar Anwar supaya berterus terang mengenai pendatang tanpa izin kepada suruhanjaya berkenaan yang ditugaskan meneliti masalah yang tertangguh di negeri ini sejak sekian lama.

Salleh dipetik sebagai menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab Anwar untuk berbuat demikian memandangkan beliau adalah Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, dan menambah: "beliau (Anwar) seorang yang berkuasa dan tahu apa yang berlaku di Sabah".

Penubuhan RCI dan pelantikan pengerusi serta anggotanya diumumkan oleh perdana menteri pada 11 Ogos tahun lepas untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Prosiding pendengaran suruhanjaya itu diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Anggota panelnya ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri yang juga bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J. Luping.

Prosiding berikutnya akan diadakan dari 29 Jan hingga 1 Feb dan dari 22 hingga 27 Feb. BERNAMA

Artikel Lain