suria

Malaysia Sumbang US$50,000 Untuk UN-Women

KUALA LUMPUR: Malaysia menyumbang US$50,000 (kira-kira RM152,000) kepada entiti bagi Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Women) tahun ini.

Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff berkata sumbangan itu merupakan dedikasi untuk terus menyokong kerja entiti dalam meningkatkan matlamat kesaksamaan gender dan kemajuan wanita.

"Malaysia mengiktiraf peranan penting wanita dalam menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan pada masa sama memelihara keluarga yang stabil dan bahagia.

"Oleh itu, bagi belanjawan 2013, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM50 juta (kira-kira US$16.5 juta) untuk membantu wiperanan wanita. Satu daripada langkah yang akan dilaksanakan termasuk melatih 500 wanita sebagai anggota lembaga pengarah di bawah Program Pengarah Wanita (WDP)," katanya.

Hussein berkata demikian pada mesyuarat Lembaga Eksekutif UN-Women di New York semalam yang membincangkan aktiviti operasi. Teks ucapan beliau diperoleh Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensinya Institut Pengupayaan Wanita NAM (NIEW) memperkenalkan WDP untuk menyediakan wanita berpotensi dan berkelayakan bagi jawatan pengarah di syarikat-syarikat tersenarai di Malaysia.

Beliau berkata itu selaras dengan polisi kerajaan Malaysia yang menyasarkan 30 peratus wanita mewakili di peringkat membuat dasar dan lembaga korporat menjelang 2016.

Beliau mencadangkan untuk meningkatkan konsisten dan kepaduan dengan agensi PBB lain dalam pelaksanaan program.

Katanya pendekatan ini penting bagi meneruskan penyesuaian aktiviti selari dengan peranan UN-Women ke arah kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita. - BERNAMA

Artikel Lain