suria

Thaipusam: NGO Mahu Polis Ambil Tindakan Terhadap Individu Lakukan Kekecohan

KUALA LUMPUR: Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menimbulkan kekecohan semasa perarakan Thaipusam Sabtu ini.

Seramai 30 wakil empat NGO yang terdiri daripada Persatuan Kemajuan dan Kebajikan Masyarakat Kawasan Batu Wilayah Persekutuan, Persatuan Jalan Ipoh, Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Masjid India, dan Persatuan Kassipillay datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini petang ini untuk membuat laporan berhubung gesaan mereka itu.

Wakil NGO berkenaan, C. Ramanathan, yang juga Pengerusi Persatuan Kemajuan dan Kebajikan Masyarakat kawasan Batu, Wilayah Persekutuan, berkata pihaknya memohon pihak polis mengambil tindakan ke atas individu yang melakukan huru-hara seperti mat rempit, peragut dan pergaduhan antara kongsi gelap semasa perarakan yang bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Bandar sehingga Batu Caves itu.

"Semasa perarakan Thaipusam tahun-tahun sebelum ini banyak kekecohan yang berlaku dan kami tidak mahu hal itu berulang lagi semasa perarakan itu nanti.

"Kami juga meminta pihak polis menambah bilangan anggotanya di sepanjang perarakan itu," katanya kepada pemberita. BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain