suria

Pemberian Kewarganegaraan Kepada Imigran Pada 1957 Dan Pendatang Di Sabah Dua Perkara Berbeza

PUTRAJAYA: Pemberian taraf warganegara kepada imigran sebelum Merdeka dan kepada pendatang di Sabah adalah dua isu berbeza dan perlu dilihat secara berbeza juga, kata presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ini berkata, beliau tidak menemui sebarang persamaan antara dua isu itu dan adalah tidak betul dua perkara ini diletakkan pada asas yang sama.

"Keputusan memberinya (kewarganegaraan) kepada sejuta imigran pada 1957 merupakan suatu kemestian dalam pembinaan sebuah negara dan untuk merangka perlembagaan. Mereka sudah berada di sini ketika itu bersama orang lain.

"Imigran di Sabah, datang ketika Malaysia sudah ditubuhkan dan oleh kerana kita tidak melindungi sempadan kita, maka mereka pun masuk. Oleh itu, saya berpendapat ia perlu ditangani secara berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Bengkel Penjenamaan Minyak Sawit Malaysia di sini, Selasa.

Dompok berkata demikian bagi mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat pemberian taraf warga negara kepada sejuta imigran di Persekutuan Tanah Melayu selepas beliau dikritik kerana memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah.

Sebelum itu, Dr Mahathir mengaku bahawa semasa menjadi perdana menteri, beliau memberi kewarganegaraan kepada pelarian Filipina di Sabah yang memenuhi semua syarat yang ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain