suria

Mini Kasino Berselindung Di Belakang Kuil Diserbu Polis

ALOR GAJAH: Sebuah 'mini kasino' yang berselindung di belakang sebuah kuil diserbu polis dalam Ops Limau di Taman Rakyat dekat Kuala Ina di sini, Selasa.

Ketua Unit Pencegahan Perjudian Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, DSP Tan Tin Heng berkata dalam serbuan kira-kira pukul 8 malam itu, 18 lelaki berumur antara 20 hingga 55 tahun yang asyik berjudi ditahan bersama wang tunai berjumlah RM41,077.

"Berdasarkan siasatan awal, aktiviti perjudian dijalankan di situ setiap hari bermula 5.30 petang hingga 9.30 malam, dan kebanyakannya penduduk sekitar kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Tan berkata mini kasino itu yang dibina dalam khemah menggunakan dadu sebagai elemen utama, dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

"Pemain perlu membaling dua buah dadu yang memaparkan lima gambar, iaitu ikan, udang, ayam, labu air, ketam dan simbol duit dan boleh memenangi wang pertaruhan sekiranya memilih gambar yang tepat," katanya.

Tan berkata kesemua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 pindaan 2001.

Katanya, serbuan itu merupakan sebahagian daripada Ops Limau yang akan diteruskan selama sebulan sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi mencegah kegiatan perjudian.

Dua puluh anggota polis dari unit D7 dari Bukit Aman termasuk tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menyertai operasi itu. BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain