suria

Lebih 1,000 Penduduk Di Jalan Matang-Gunung Serapi Terjejas Kerana Jalan Runtuh

KUCHING: Lebih 1,000 orang penduduk selain pelajar serta petugas sebuah politeknik dan sekolah menengah agama di Jalan Matang-Gunung Serapi dekat sini terjejas setelah sebahagian daripada jalan itu runtuh, Selasa.

Kejadian itu dilaporkan kira-kira pukul 9.30 malam tadi yang melibatkan runtuhan sepanjang enam kilometer dan sebahagiannya dianggar sedalam 10 meter bermula dari Km10 jalan itu, kata Ketua Balai Polis Gita, Insp Gilbert Chin Hin, Rabu.

"Sebagai langkah keselamatan, kita mengarahkan jalan berkenaan ditutup dan meminta pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif yang melalui jalan Pusat Pentadbiran Persekutuan sementara menunggu kerosakan ini diperbaiki," katanya.

Selain menjadi jalan penghubung kepada penduduk setempat serta pelajar dan petugas Politeknik Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuching, jalan ini turut digunakan untuk ke Taman Keluarga Matang dan Taman Negara Kubah.

Sehingga kini, Jabatan Kerja Raya belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain