suria

Kes Saman Ibu Tunggal: Kerajaan Selangor Akan Kemuka Rayuan Keputusan Mahkamah

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu yang menolak permohonan kerajaan Selangor untuk mengetepikan saman yang difailkan 2,020 ibu tunggal di negeri itu.

"Kita akan terima pandangan hakim dan mengemukakan rayuan kerana merasakan ia isu asas.

"Kita minta mahkamah untuk ketepikan saman tetapi mahkamah menyatakan kesanggupan untuk mendengar prosiding kes tersebut. Itu saja," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengenai perkara itu pada Rabu.

Pada 22 November tahun lalu, seramai 2, 020 ibu tunggal di Selangor memfailkan tuntutan bagi menuntut tunggakan berjumlah RM10.9 juta.

Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan Abdul Khalid selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Beliau berkata, kerajaan negeri mendapati ada beberapa nama ibu tunggal yang diberikan sudah tidak tinggal di alamat yang dinyatakan dan individu yang tiada kena mengena dalam perkara ini turut campur tangan.

"Ada dua daripada 100 nama itu, kita dapati tidak menetap di kawasan perumahan tersebut. Jadi pada kita, ini tidak akan menyelesaikan masalah," katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri telah meminta mahkamah supaya memberikan senarai nama baru bagi ibu tunggal yang sah.

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak permohonan kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya untuk mengetepikan saman berhubung kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 2008 yang difailkan 2,020 ibu tunggal di negeri itu.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam memutuskan perkara itu selepas mendapati plaintif mempunyai asas untuk membuat tuntutan itu.

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain