Kerajaan Selangor Beku CAPEX Syabas Demi Kepentinga​n Rakyat - Abdul Khalid - Semasa | mStar

Kerajaan Selangor Beku CAPEX Syabas Demi Kepentinga​n Rakyat - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memutuskan pada Rabu untuk membekukan kelulusan Perbelanjaan Modal (CAPEX) dan pelarasan tarif air yang dipohon oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) demi menjaga kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapati Syabas gagal mencapai sasaran penurunan Kehilangan Hasil Air (NRW) seperti yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi yang dipersetujui syarikat tersebut.

"Di dalam perjanjian tersebut, Syabas menjanjikan penurunan NRW kepada 19.98% pada 2011 dengan perbelanjaan sebanyak RM784.1 juta. Namun kadar yang dicapai adalah melebihi 32% dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1,169.64 juta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di sini, Rabu.

Beliau berkata, Syabas masih gagal untuk menurunkan NRW kepada kadar sepatutnya walaupun peruntukan yang diberikan melebihi jumlah yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi.

"Kegagalan menurunkan NRW kepada 19.98% seperti dijanjikan sebenarnya bukan berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi disebabkan kegagalan Syabas dalam merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan," katanya.

Abdul Khalid berkata, kegagalan itu menyebabkan negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terlepas peluang mendapatkan penjimatan kira-kira 663 Juta Liter Sehari (JLH) yang sepatutnya dihasilkan menerusi penurunan NRW seperti dijanjikan Syabas.

"Kuantiti tersebut dapat menampung keperluan peningkatan permintaan untuk tempoh melebihi lima tahun akan datang," katanya.

Menurut Abdul Khalid, beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan Syabas dengan menggunakan CAPEX yang diluluskan tidak memberi manfaat kepada pengguna.

Katanya, antara projek-projek tersebut adalah menaik taraf Loji Rawatan Air Bernam River Headwork (BRH), meningkatkan kapasiti agihan Loji Rawatan Air Rasa, penyelenggaraan aset bekalan air dan memanfaatkan sistem sedia ada.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan mempertahankan dan mengutamakan kepentingan pengguna supaya tidak terbeban untuk membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia.

"Penyelesaian kepada permasalahan ini hanya boleh dicapai di bawah modal holistik yang dimulakan oleh kerajaan Pusat sejak 2006 apabila Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) digubal," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Selangor bersungguh-sungguh menyelesaikan penstrukturan semula berlandaskan perundangan walaupun kerajaan Pusat enggan membenarkan pengambilalihan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain