suria

iM4U Lancar 'My Beautiful Malaysia Day' 3 Feb Ini

KUALA LUMPUR: 1Malaysia For Youth (iM4U) akan melancarkan 'My Beautiful Malaysia Day' pada 3 Feb ini bagi mencetuskan semangat sukarelawan dalam kalangan belia di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Jake Abdullah berkata program akan berlangsung serentak di 100 lokasi di seluruh negara dan dijangka disertai sejuta belia.

"Menerusi program ini kami berharap belia dapat melihat yang mereka boleh terbabit secara aktif dalam pembangunan, melakukan perubahan dalam masyarakat dan membuat impak positif kepada negara dan juga kehidupan mereka.

"Sikap sukarelawan bermula di rumah dan kami mahu semua rakyat Malaysia bersatu membuat perbezaan," katanya pada sidang media, di sini hari ini yang turut dihadiri duta iM4U Sazzy Falak, Michael Teoh dan Anand Rajaratnam.

Jake berkata antara aktiviti dirancang ketika program itu ialah mengecat bangunan, kerja-kerja landskap, membersihkan perkuburan, membaiki bangunan seperti sekolah, rumah ibadat dan juga rumah orang miskin.

Ditanya mengenai strategi iM4U untuk mengubah masyarakat Malaysia daripada bersifat kebendaan kepada masyarakat sukarelawan, Jake berkata langkah paling penting ialah memberi peluang kepada mereka untuk menjadi sukarelawan.

"Saya setuju kita hidup dalam masyarakat bersifat kebendaan tetapi pada masa sama masih ada ruang dalam hati kita sebagai rakyat Malaysia untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Seperti program ini, kami cuma mahu katakan 'hei, kami sedang membantu seseorang, marilah sertai kami, tak perlu daftar atau sebagainya'," katanya.

Beliau turut menekankan peranan duta dalam menggerakkan orang ramai, khususnya belia, untuk melakukan kerja sukarela.

"Kami ada kira-kira 20 duta meliputi penyanyi, pelakon, ahli sukan serta ikon belia. Masyarakat memandang tinggi kepada mereka ini dan mahu menjadi seperti mereka. Justeru amat penting bagi duta untuk menghebahkan budaya sukarelawan ini," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain