suria

Ibu Tunggal Mengaku Tak Bersalah Terhadap Enam Pertuduhan Pengubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM659,436 pada Mac 2011.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Noor Azlina Khalil, 40, didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak US$35,000 (RM106,443) dan US$75,000 (RM228,093) melalui pemindahan telegraf dari akaun Hua Nan Commercial Bank milik seorang wanita warga Vietnam, Caroline Wei Yin Cheng ke akaun OCBC Bank Berhad dan United Overseas Bank (UOB) milik syarikat tertuduh, Alin Trading.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, tertuduh didakwa menerima wang hasil aktiviti haram iaitu berjumlah RM50,000, RM49,720, RM213,680 dan RM11,500 secara tunai dengan menggunakan cek OCBC Al- Amin dan United Overseas Bank Berhad tersebut milik syarikatnya.

Noor Azlina, yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan, didakwa melakukan kesalahan itu antara 21 Mac 2011 sehingga 28 Mac 2011 di empat buah bank berlainan, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang boleh didenda sehingga RM5 juta atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim menawarkan wang jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Saranjeet Kaur Sidhu, yang mewakili Noor Azlina, berkata jumlah tersebut itu adalah tinggi memandangkan anak guamnya telah ditinggalkan suami warga Nigeria dan hanya mampu membayar RM20,000 sahaja.

Hakim Muhammad Sekeri Mamat membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Feb ini untuk sebutan semula kes. BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain