suria

Banduan Lolos Ditemui Bersembunyi Dalam Semak

KUANTAN: Seorang banduan yang dipercayai meloloskan diri dari kawalan pihak penjara ketika mencuci tasik dalam kawasan Penjara Penor, di sini petang tadi, berjaya diberkas semula malam Selasa.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata banduan terbabit ditemui pegawai dan anggota penjara sedang bersembunyi di kawasan semak berdekatan Madrasah Minaratil Ilmi dalam kawasan penjara itu pada pukul 9.15 malam.

"Suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut," katanya dalam khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini.

Banduan terbabit, Mohd Norhafiza Mat Sudin, 26, berasal dari Felda Tenang, Besut, Terengganu sedang menjalani hukuman selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 2(2)(3)/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Norhafiza dijatuhi hukuman penjara mulai 15 Sept lepas dan tarikh bebas ialah pada 6 Disember 2013.

Banduan berkenaan melarikan diri dalam kawalan anggota penjara kira-kira jam 1.15 petang. - BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain