suria

Tuntutan Naikkan Royalti Minyak Hanya Gimik Politik Menjelang PRU-13: Tokoh Usahawan

KOTA BARU: Tuntutan pembangkang supaya Petronas memberi royalti minyak dari lima kepada 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak lebih merupakan gimik politik yang dipopularkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Seorang tokoh usahawan Datuk Hassan Harun berkata tuntutan itu juga tidak munasabah dan boleh menjejaskan kewangan syarikat minyak dan gas nasional itu serta kerajaan pusat untuk menunaikan tanggungjawab menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.

"Saya rasa tidak praktikal dan tidak munasabah kerana sekarang ini pun Petronas membayar cukai yang begitu banyak kepada kerajaan pusat yang menggunakan wang tersebut untuk membelanjakannya di semua negeri termasuk di negeri yang bukan pengeluar minyak sekaligus menaikkan taraf hidup negeri-negeri di seluruh Malaysia," katanya.

Hassan yang juga bekas pengerusi dan ketua pegawai eksekutif KUB Malaysia Berhad, mengulas tuntutan pakatan pembangkang yang mahu memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak jika dapat menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Hassan yang juga Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 dan kini Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pembangkang tidak bijak dalam menuntut kenaikan peratus royalti minyak itu kerana ia hanya bersifat sementara yang bukan sahaja boleh menjejaskan kewangan Petronas malah menjejaskan perkembangan syarikat nasional itu dalam penerokaan petroleum pada masa depan.

Beliau berkata apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang ini adalah tindakan yang munasabah dan mengambil kira faedah jangka panjang menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada rakyat, yang dilaksanakan melalui pelbagai hasil kerajaan termasuk bayaran cukai oleh Petronas.

Pelbagai kemudahan asas yang sedang dinikmati rakyat termasuk lebuh raya, jalan raya, lapangan terbang, hospital, sekolah dan banyak lagi telah berjaya meningkatkan taraf hidup dan membawa kemakmuran kepada rakyat, katanya.

Beliau berkata semua kemudahan asas itu dapat dibangunkan di seluruh negara kerana kerajaan pusat menguruskan sumber kekayaan negara dengan baik dan mempunyai tenaga kepakaran dalam pelbagai bidang bagi melaksanakan setiap perancangan untuk memajukan negara.

"Ini perkara yang rakyat harus fikirkan sebab hasil negara ialah cukai dan sekarang ini kerajaan pusat boleh kutip cukai hingga RM115 bilion setahun, ini menyebabkan kerajaan boleh membuat banyak tawaran kepada rakyat termasuk dalam bentuk tunai, ini kerana pengurusan kerajaan yang cekap dan bagus," katanya.

Hassan berkata bagi negeri pengeluar minyak seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak, kerajaan pusat membelanjakan lebih daripada kuotanya dalam pelbagai bentuk pembangunan.

"Saya rasa pendekatan untuk meminta 20 peratus itu untuk diberikan kepada negeri, adalah langkah yang tidak bijak kerana tidak menguntungkan kerana di peringkat negeri masing-masing tidak ada kepakaran berbanding yang ada di peringkat kerajaan pusat dalam bermacam-macam bidang pembangunan maka berilah kepada kerajaan pusat menunaikan tanggungjawabnya," katanya.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak sekarang ini lebih maju berbanding Kelantan kerana keterbukaan dan kerjasama baik antara kerajaan negeri itu dan kerajaan pusat menyebabkan pelbagai kemudahan asas dapat diwujudkan dan mencetuskan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan baru.

"Tengok bandaraya Kuching atau bandar Miri jauh berbeza dengan bandar Pasir Mas atau bandar Kuala Krai, sebab apa, kerana pengurusan yang baik hingga mencetus peluang pekerjaan dan perniagaan yang banyak," katanya.

Dengan usaha Kelantan yang beria-ia menuntut royalti minyak, adalah lebih baik jika dengan cara yang bijaksana memohon kerajaan pusat menyediakan pelbagai kemudahan asas yang masih tidak mencukupi di seluruh negeri ini, kata beliau.

Katanya kemudahan asas yang sempurna bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi dapat menarik pelabur tempatan dan asing untuk melabur di negeri ini.

"Kalau kerajaan negeri nak minta, adalah lebih baik minta kerajaan pusat memperbaiki kemudahan infrasruktur di negeri ini supaya senang kerajaan negeri menarik pelabur melabur di Kelantan, itu jangka panjang kerana kalau habis hasil minyak apa yang kita akan dapat, sedangkan kemudahan asas itu adalah untuk jangka panjang," katanya.

Beliau berkata kemudahan asas yang kurang sempurna seperti lebuh raya, jalan raya, lapangan terbang dan pelabuhan menyebabkan pelabur lebih tertumpu di negeri pantai barat yang kemudahan asasnya lebih baik malah ramai rakyat Kelantan menjalankan perniagaan mereka di negeri tersebut.

Pembangunan yang banyak terdapat di Kelantan ini adalah sumbangan kerajaan pusat dan yang terbaru kawasan Tunjung di sini akan menjadi bandar baru ala Putrajaya apabila kerajaan pusat membina banyak bangunan kerajaan di kawasan tersebut, katanya.

"Kalau saya jadi pemimpin kerajaan negeri Kelantan, saya akan minta kereta api laju, lapangan terbang bertaraf antarabangsa, pelabuhan, biar kerajaan pusat yang buat, tak payah minta duit, supaya ramai pelabur dan pelancong datang ke sini.

"Saya juga akan minta kerajaan pusat membina infrasruktur teknologi maklumat (IT) yang luar biasa supaya timbul industri berkaitan IT, jangan ada satu sudut pun di Kelantan yang tidak mendapat liputan broadband (jalur lebar), itu yang patut diminta," katanya dengan menambah kerajaan negeri yang sealiran dengan kerajaan pusat memudahkan perkara itu direalisasikan.

Sementara itu, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Negeri Kelantan Azmi Ali yang membidas pembangkang menggunakan isu royalti minyak bagi menarik sokongan rakyat terutama di Sabah dan Sarawak pada PRU ke-13, berkata ia hanya cadangan retorik dan tidak munasabah.

"Saya berpendapat kerajaan BN menggunakan semua keuntungan Petronas itu untuk rakyat, tidak timbul berapa peratus yang perlu diberi kepada negeri atau rakyat, kerana duit itu sudah dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk termasuk menyediakan infrastruktur seperti buat sekolah, jalan raya, balai polis, hospital... semua ini dari sumber alam kita, pemberian lima peratus sekarang ini hanya imbuhan tetap, lebih daripada itu pun kerajaan labur kepada rakyat, duit itu kembali kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata cadangan pakatan pembangkang itu, akan membuatkan kerajaan pusat tidak mampu menyediakan kemudahan asas kepada semua negeri dan bantuan lain kepada rakyat dengan sempurna kerana hasilnya sudah berkurangan mengalir ke negeri.

"Kalau tanggungjawab kerajaan negeri bina sekolah, hospital, klinik, balai polis...50 peratus pun dia boleh ambil, masalahnya kemudahaan asas itu tanggungjawab kerajaan pusat mana kerajaan pusat nak ambil duit kalau sudah beri kepada negeri," katanya.

Azmi berkata cadangan pakatan pembangkang itu boleh menjejaskan operasi Petronas pada masa depan dan beliau berharap rakyat tidak mudah percaya dengan janji pakatan pembangkang kerana di Kelantan yang diperintah kerajaan PAS banyak janji yang tidak ditunaikan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain