suria

Seorang Banduan Penjara Bolos Ketika Cuci Tasik

KUANTAN: Seorang banduan dipercayai melarikan diri dari Penjara Penor ketika sedang melakukan kerja-kerja mencuci tasik dalam kawasan penjara itu petang Selasa.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani kejadian itu hanya disedari seorang petugas penjara ketika memeriksa bilangan banduan yang melakukan kerja-kerja tersebut.

"Banduan terbabit, Mohd Norhafiza Mat Sudin, 26, berasal dari Felda Tenang, Besut, Terengganu sedang menjalani hukuman selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 2(2)(3)/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dia dihukum menjalani hukuman penjara mulai 15 September lepas dan tarikh bebas ialah pada 6 Disember 2013," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Beliau berkata, banduan berkenaan melarikan diri dalam kawalan anggota penjara kira-kira jam 1.15 petang.

“Polis menerima laporan kira-kira jam 4.43 petang dan terus melancarkan operasi bersama kaki tangan penjara di semua kawasan yang disyaki dan sempadan bagi mencari banduan itu,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya banduan berkenaan masih berada di sekitar Kuantan dan orang ramai diminta menghubungi polis jika ternampak lelaki memakai baju penjara berwarna hijau.

“Orang ramai boleh menghubungi talian 09-5142999 jika mempunyai maklumat mengenai suspek,” katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain