suria

Mahkamah Tolak Permohonan Borders Untuk Periksa Balas Hishammuddin Berhubung Rampasan Buku

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pemilik kedai buku Borders, Berjaya Books Sdn Bhd untuk memeriksa balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan dua lagi menteri dalam prosiding semakan semula kehakiman berhubung rampasan buku kontroversi tulisan Irshad Manji.

Hakim, Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu di dalam kamarnya pada Selasa.

Peguam, Rosli Dahlan yang mewakili Berjaya Books memberitahu pemberita hakim menegaskan bahawa afidavit difailkan Hishammuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya Datuk Dr Mashitah Ibrahim, adalah mencukupi dalam prosiding itu.

"Sehubungan itu, hakim menolak permohonan itu," kata Rosli dan menambah hakim turut membenarkan permohonan lisannya bagi penangguhan prosiding semakan semula kehakiman sementara menunggu rayuan berhubung keputusan pada Selasa.

Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk mendengar permohonan semakan semula kehakiman.

Berjaya Books memfailkan permohonan untuk memeriksa balas Hishammuddin, Jamil Khir dan Mashitah pada September tahun lepas berhubung 'kenyataan bercanggah' dalam afidavit mereka.

Pada 25 Jun 2012, Berjaya Books dan dua pekerjanya, pengurus besar operasi dan barangan, Stephen Fung Wye Keong, serta pengurus stor kedai di The Gardens di Mid Valley City, Nik Raina Nik Abdul Aziz mendapat kebenaran bagi semakan semula kehakiman daripada Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merampas buku itu.

Dalam permohonan kebenaran itu, ketiga-tiga mereka memohon, antara lain, perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan pegawai Jawi menyerbu, menggeledah dan merampas buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan 'Allah, Liberty and Love' pada 23 Mei 2012 di kedai buku Borders di The Gardens Mall di Mid Valley City.

Mereka turut memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan untuk mendakwa Nik Raina di Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengedar buku itu.

Nik Raina didakwa pada 19 Jun tahun lepas atas tuduhan mengedar dan menjual buku berkenaan, yang dikatakan bercanggah dengan undang-undang Islam, di kedai buku itu antara 8.41 malam dan 9.45 malam pada 23 Mei 2012. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain