suria

Enam Anggota 'Chandra' Ditahan, Dadah RM1 Juta Dirampas

JOHOR BARU: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta di sebuah stor yang dijadikan makmal memproses dadah di Plentong di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata kesemua anggota kumpulan 'Chandra' itu yang berumur lingkungan 26 hingga 50 tahun ditahan kira-kira pukul 3.45 petang selepas polis bertindak atas maklumat.

"Pemeriksaan di stor itu menemui 27 kilogram dadah disyaki ketamin, empat gram dadah disyaki heroin, 43 gram dadah disyaki syabu dan 63 biji dadah disyaki pil ekstasi. Kesemua dadah itu mampu dibekalkan kepada 137,000 orang penagih," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Selasa.

Zainuddin berkata pemeriksaan lanjut di premis itu turut menemui 100 peluru hidup berukuran 9mm, sehelai vest polis, wang tunai RM14,000, alat penimbang, alat pembakar dan sebuah kereta Toyota Hilux.

Beliau berkata polis sedang mengesan senjata api yang berkemungkinan dimiliki kumpulan itu yang dipercayai terlibat dengan jenayah sejak setahun lepas.

Katanya lima daripada lelaki itu positif dadah dan tiga daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, curi serta menceroboh rumah.

"Polis percaya dadah itu diedarkan di sekitar bandar raya ini dan kita juga tidak menolak kemungkinan dadah ini dijual di pasaran antarabangsa.

"Keenam-enam lelaki itu sedang disiasat untuk tindakan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain