suria

Universiti China Cipta Sejarah Di Malaysia

Najib (tengah) menyaksikan Mohamed Khaled (tiga, kanan) menyerahkan surat jemputan penubuhan kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia kepada Presiden Universiti Xiamen, China, Prof Zhu Chongshi (tiga, kiri) di Sepang, Isnin. Turut sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa (kanan). Foto BERNAMA

SEPANG: Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama bagi kampus cawangan luar negara Universiti Xiamen pada 2015.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kampus cawangan itu akan dibina di tanah seluas 60.72 hektar di Salak Tinggi, dekat sini dan dijangka beroperasi pada September 2015.

"Kerajaan Malaysia telah memberi kelulusan secara prinsipnya kepada Universiti Xiamen untuk menubuhkan cawangan kampus luar negaranya yang pertama di sini.

"Jemputan ini begitu bersejarah kerana inilah kali pertama kerajaan China membenarkan sebuah universitinya menubuhkan kampus di luar negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan 30 minit dengan Presiden Universiti Xiamen Prof Zhu Chongshi dengan anggota delegasinya seramai 20 orang di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin.

Najib juga menyaksikan majlis penyerahan surat jemputan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Zhu.

Hadir sama Duta Khas Perdana Menteri ke China merangkap Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tan Sri Ong Ka Ting.

Najib berkata satu perjanjian penubuhan kampus cawangan itu akan ditandatangani pada awal Februari ini ketika pelancaran Kuantan Industrial Park di Pahang.

Beliau berkata kapasiti kampus cawangan Universiti Xiamen di peringkat pertama dijangka mengambil 10,000 pelajar, iaitu satu pertiga warga Malaysia, satu pertiga warga China dan satu pertiga lagi daripada negara-negara Asean dan luar Asean.

Katanya, lima buah fakulti akan ditubuhkan di kampus cawangan di sini iaitu, kejuruteraan biologi elektrik dan kejuruteraan kimia, pusat pengajian perubatan, ICT, Perniagaan dan Ekonomi, Bahasa dan Kesusasteraan China.

"Penubuhan cawangan kampus itu akan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini," katanya sambil menambah bahawa Bahasa Inggeris akan digunakan sebagai bahasa penghantar.

Jelas beliau, Universiti Xiamen yang merupakan sebuah universiti yang tidak berasaskan keuntungan akan menggunakan semua pendapatan daripada cawangan kampus di sini untuk dilaburkan semula supaya kampus di sini akan mencerminkan sebagai sebuah universiti yang mencapai tahap kualiti pendidikan cemerlang.

Sementara itu, Najib berkata penubuhan kampus cawangan universiti yang pertama di Malaysia amat bermakna dalam hubungan dua hala Malaysia dan China.

"Perkembangan ini dimungkinkan setelah saya menyuarakan kepada Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada April tahun lepas di Nanning, China bahawa Malaysia mengalu-alukan hasrat Universiti Xiamen untuk menubuhkan cawangannya di Malaysia.

"Hasil daripada perbincangan tersebut, Wen memberi restunya supaya projek ini dilaksanakan," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Datuk Ter Leong Yap yang mengeluarkan dana membeli tanah tersebut.

Sementara itu, Zhu mengucapkan terima kasih kepada Malaysia, perdana menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha menubuhkan kampus cawangan pertamanya di sini.

"Ini merupakan satu lagi kerjasama yang bermakna Malaysia-China dalam bidang akademik dan pendidikan selain daripada kerjasama ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi, kebudayaan yang mengeratkan hubungan dua hala," katanya.

Zhu berkata kos penubuhan kampus cawangan itu dianggarkan kira-kira RM600 juta dengan RM400 juta adalah bagi peringkat pertama penubuhan.

"Dengan nisbah 15 pelajar kepada seorang pensyarah, kira-kira 700 tenaga pengajar diperlukan di kampus cawangan yang bakal dibuka di sini.

"Kini, pihak universiti sudah mula proses pengambilan tenaga pengajar di seluruh dunia," katanya sambil menambah bahawa pensyarah-pensyarah Universiti Xiamen di China juga berminat untuk bertugas di sini.

Zhu berkata yuran pengajian akan mengikut piawaian di negara ini dan biasiswa Universiti Xiamen-Malaysia akan disediakan untuk membantu pelajar-pelajar miskin yang cemerlang dalam bidang akademik.

Universiti Xiamen yang tersenarai di antara 20 buah universiti terbaik di China diasaskan usahawan getah Malaya yang termasyhur Tan Kah Kee pada tahun 1921.- BERNAMA

Artikel Lain