suria

Tiga Anggota Polis Peronda Bebas Tuduhan Rompak Pemandu Pelancong

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Isnin melepas dan membebaskan tiga anggota polis peronda daripada tuduhan merompak seorang pemandu pelancong, selepas membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Sesyen Ampang, dua tahun lepas.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Lans Koperal Nasir Ini, 31, Konstabel Jerry Luis, 29, dan Koperal Mohd Nor Azali Jamin, 28, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Mereka didakwa merompak harta kepunyaan Tan Kian Boon, 53, iaitu mata wang China RMB6,000 dan wang tunai RM300 di Jalan 2/24 Pandan Perdana Ampang dekat sini, pada 9.30 malam, 16 September 2009.

Ketiga-tiga anggota polis itu yang kini digantung tugas didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Akhtar mendapati hakim Mahkamah Sesyen Ampang hanya menilai keterangan tertuduh sahaja dan tidak memberi penekanan terhadap kredibiliti pengadu.

Selain itu, beliau berkata, hakim Mahkamah Sesyen seolah-olah tidak tahu sama ada rompakan telah berlaku atau berlaku cubaan untuk merompak yang merupakan isu penting perlu dibuktikan dalam kes itu.

"Hakim Mahkamah Sesyen juga seolah-olah meletak beban ke atas tertuduh untuk buktikan kes apabila menyatakan tertuduh tidak memanggil saksi untuk buktikan pembelaan mereka. Bebanan telah berpindah dari pendakwaan kepada tertuduh dan ini kesilapan dilakukan oleh hakim," katanya.

Akhtar berkata, walaupun pertuduhan menyatakan rompakan membabitkan wang RM6,000 dan RM300, pengadu ketika memberi keterangan memberitahu beliau bukan sahaja dirompak dengan jumlah itu tetapi juga telah dibawa oleh tertuduh ke mesin ATM di sebuah stesen minyak untuk mengeluarkan RM500 lagi, justeru, pertuduhan sepatutnya menyatakan jumlah yang dirompak ialah RM800.

Beliau berkata, tiada sebarang keterangan berhubung siasatan polis tentang apa yang sebenarnya berlaku di stesen minyak itu dan beliau juga mendapati terdapat banyak kecacatan dalam kes pendakwaan yang tidak dipertimbangkan oleh hakim Mahkamah Sesyen.

"Oleh demikian saya dapati pihak pendakwaan bukan sahaja telah gagal buktikan kes melampaui keraguan yang munasabah malah turut gagal membuktikan kes prima facie. Sehubungan itu saya benarkan rayuan ketiga-tiga tertuduh dan mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen," katanya.

Ketiga-tiga anggota polis itu diwakili peguam J.Rao sementara Timbalan Pendakwa Raya Asma Nadiah Abdul Rahman hadir bagi pihak responden. - BERNAMA

Artikel Lain