suria

SPAD Teliti Permit Teksi Individu Yang Tidak Digunakan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat permit teksi individu yang tidak digunakan dan sudah mati untuk ditarik balik dan diberikan kepada individu yang betul-betul berminat.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, perkara ini masih dalam peringkat rundingan dengan beberapa pihak terutamanya pihak pengusaha teksi dan pemilik permit individu.

“Kita kena tengok perkara ini dengan teliti, individu yang sudah tidak berminat kita tarik balik dan beri kepada yang betul-betul berminat kerana lesen individu tidak boleh dipajak kepada orang lain.

“Kita tidak keluarkan permit baru kerana tidak mahu berlaku lambakan permit teksi, jadi kita guna jumlah sedia ada dan lihat semula siapa yang tidak menggunakannya,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pemandu Teksi, di sini, Isnin.

Menurutnya, kira-kira 17,000 daripada 37,000 permit teksi yang dikeluarkan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang adalah permit individu.

Tambah beliau, SPAD sedang mengkaji sistem pemajakan yang diguna pakai oleh semua pengusaha teksi yang didapati berbeza.

“Kita sedang kaji supaya ada satu sistem yang selaras terutama dari segi harga yang di pajak, tujuan SPAD bukan mahu masuk campur namun kita mahu industri teksi ini dapat berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, SPAD akan mengadakan pelbagai program dalam usaha merapatkan hubungan antara penguat kuasa dan pemandu teksi di Malaysia.

“Laporan antarabangsa mengatakan pemandu teksi di Malaysia merupakan yang terburuk di dunia, kita mahu mengubah imej yang tercemar ini.

“Oleh itu SPAD sudah merangka pelbagai program supaya kita lebih dekat dengan mereka dan mengetahui masalah-masalah yang mereka hadapi,” katanya lagi.

Artikel Lain