suria

PM Tingkatkan Profil Malaysia Sebagai Destinasi Pilihan Di WEF

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland tahun ini untuk membina keyakinan yang kukuh bagi Malaysia sebagai destinasi pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelancongan pilihan di Asia.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan memasarkan penjenamaan Malaysia berdasarkan kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak pelancarannya pada Oktober 2010 pada forum yang menghimpunkan tokoh politik dan ekonomi dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata dengan perhimpunan lebih 2,500 pelabur, pemimpin perniagaan dan pembuat dasar paling berkuasa dan berpengaruh di dunia ini, WEF merupakan platform terbaik kerana ia menampilkan khalayak global yang lebih luas.

"Memandangkan persekitaran yang semakin sengit persaingannya, Malaysia perlu meningkatkan profilnya dengan menonjolkan kejayaan ETP dan persekitaran mesra perniagaan negara ini," katanya pada satu sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata meskipun Perdana Menteri mempunyai jadual domestik yang ketat, lebih-lebih lagi dengan pilihan raya umum yang rata-rata dijangkakan diadakan pada Mac tahun ini, "usaha perlu diteruskan untuk menarik pelabur, mengembangkan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan."

Najib akan berlepas pada Rabu untuk mengetuai perwakilan Malaysia ke WEF dari 23 hingga 26 Januari.

WEF adalah satu daripada perhimpunan perniagaan tahunan paling penting dan berprofil tinggi di dunia.

Tema bagi forum tahun ini ialah "Resilient Dynamism (Dinanisme Berdaya Tahan)" dan pemimpin-pemimpin dunia akan memincangkan cara-cara negara dan perniagaan boleh membina daya tahan risiko dan menyesuaikan diri untuk berhadapan dengan tuntutan-tuntutan sosial dan ekonomi baharu dalam dunia yang semakin saling berhubungan ini.

Sebagai pemimpin sebuah negara yang telah bergerak menentang arah aliran global serta melalui program transformasi yang berani, Najib akan mengambil peluang untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin dunia lain dan membantu membentuk agenda global pada 2013.

Mustapa berkata program Perdana Menteri kelak termasuklah pertemuan dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; dan Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia, Pascal Lamy.

Beliau juga akan mengambil bahagian dalam satu sesi televisyen bertajuk "The Economic Malaise and Its Perils (Kelesuan Ekonomi dan Padahnya)".

Di sini, Najib akan bercakap tentang isu-isu ekonomi global bersama dengan ahli-ahli panel termasuk Ali Babacan, Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan Turki; dan Olafur Ragnar Grimsson, Presiden Iceland.

Juga akan diadakan satu sesi bertajuk "Asean: Resilience in Diversity (Asean: Daya Tahan dalam Kepelbagaian)".

Dalam sesi ini beliau akan disertai oleh ahli politik Asean, termasuk Presiden Filipina, Benigno Simeon Aquino III.

Najib akan juga menarik tumpuan dalam rancangan bual bicara bersama wartawan terkenal CNN, Fareed Zakaria, yang akan menyaksikan beliau menyentuh tentang transformasi ekonomi Malaysia serta isu-isu global.

Mustapa berkata Najib akan juga menemui tokoh-tokoh media dan pemikir antarabangsa serta ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat-syarikat terkemuka dunia.

Selain Mustapa, Najib akan diiringi oleh beberapa anggota Kabinet lain dan CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Datuk Seri Idris Jala.

Anggota-anggota perwakilan lain termasuklah ahli-ahli perniagaan terkenal dan ketua agensi-agensi Malaysia.

Najib akan juga menjadi tuan rumah kepada 'Malaysian Night', satu majlis pertemuan khusus yang bertujuan menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan korporat untuk mempamerkan yang terbaik daripada budaya, perniagaan, potensi ekonomi dan makanan Malaysia, serta umumnya negara ini dan rakyatnya.

Syarikat-syarikat terkemuka yang menghadiri WEF termasuklah Sapura, Peremba, Khazanah Nasional, YTL Group, Felda dan AirAsia. - BERNAMA

Artikel Lain