suria

Pemandu Teksi Ditahan Miliki 11Kg Ganja

SEREMBAN: Polis menahan seorang pemandu teksi kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 11 kg bernilai RM30,800 dalam satu serbuan ke atas sebuah premis perniagaan ayam di Kampung Chelet, Jalan Salak, Nilai Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Superitendan Baharom Othman berkata, lelaki berusia 44 tahun tersebut ditahan selepas sepasukan anggota dari bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima maklumat awam dan membuat risikan ke atas premis tersebut.

"Semasa pemeriksaan ke atas suspek yang turut berkerja secara sambilan di premis perniagaan ayam tersebut, polis menjumpai satu paket kecil lutsinar mengandungi dadah disyaki ganja.

"Seterusnya siasatan ke atas suspek telah dibuat dan akhirnya suspek memberitahu ada lagi dadah ditanam di dalam tanah di kebun kelapa sawit kira-kira 50 meter dari premis tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai kes itu di sini Isnin.

Baharom berkata, lelaki tersebut kemudiannya membawa anggota polis ke bahagian belakang premis terbabit dan menunjukkan tempat dadah itu ditanam sebelum pihak polis menggalinya dan menemui sebuah kotak mengandungi 11 ketul dadah mampat seberat satu kilogram setiap satu.

Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut dan memberitahu kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Baharom berkata, pada tahun lepas polis negeri berjaya membuat tangkapan sebanyak 3,342 orang kerana sama ada membekal dan mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah.

Katanya, untuk tempoh yang sama juga, pihaknya telah merampas beberapa jenis dadah yang menyaksikan peningkatan berbanding tahun 2011, antaranya termasuk heroin seberat 5.6 kg, ketamin (1.4 kg), daun ketum (38 kg) dan pil erimin 5 sebanyak 243,130 biji.

"Tahun lepas juga pihak polis telah merampas dan membuat sitaan terhadap harta benda milik pengedar dan pembekal dadah termasuk kenderaan dan premis yang keseluruhan bernilai RM902,000," katanya.

Katanya, berdasarkan rumusan sepanjang tahun lepas penyalahgunaan dadah di negeri ini juga kian menurun di mana hanya 10 hingga 15 peratus sahaja suspek yang diuji air kencing mereka positif dadah dan tidak berlaku pertambahan ketara penagih baru. - BERNAMA

Artikel Lain