suria

Mohamed Maliki Kekal Presiden MBM

KUALA LUMPUR: Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mengekalkan jawatan sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi sesi 2012-2014 pada pemilihan anggota jawatankuada kerja majlis, Ahad.

Mohamed Maliki, yang mula menyandang jawatan itu bagi sesi 2010-2012, menang tanpa bertanding manakala Muammar Ghadafi Jamal dari Gerakan Belia 4B Malaysia dilantik secara automatik sebagai Timbalan Presiden.

Pemilihan anggota jawatankuasa MBM, yang diadakan sempena mesyuarat perhimpunan agung tahunan ke-61 majlis itu di Subang Jaya, juga menyaksikan tiada pertandingan bagi merebut jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat.

Jawatan Setiausaha Agung disandang Mohd Zaidi Aziz (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) manakala N.Mahendran (Majlis Belia Hindu Malaysia) dilantik Bendahari Kehormat. Turut dilantik ialah Khairul Anwar El Syazalli Musa (Majlis Belia Perak) selaku Pengerusi Tetap manakala jawatan Timbalan Pengerusi Tetap dimenangi K. Murali (Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia).

Sementara itu, jawatan Naib Presiden diisi tiga nama iaitu Low Eng Tack (Gerakan Belia Bersatu Malaysia), Manndzri Nasib (Majlis Belia Felda Malaysia) dan Nasrul Ahmad (Majlis Gabungan Belia Melaka).

Pemilihan yang melibatkan 370 perwakilan daripada 40 pertubuhan belia itu juga memilih 12 Anggota Jawatankuasa Kerja daripada 22 calon yang bertanding. BERNAMA

Artikel Lain