suria

Lelaki Dipenjara Tiga Bulan Enggan Kerjasama Dengan Polis

KUALA TERENGGANU: Gara-gara enggan bekerjasama dengan polis untuk menyerahkan sampel air kencing, seorang lelaki menerima padah selepas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dibuat.

Hukuman dijatuhi Majistret Noradila Ab. Latif selepas tertuduh, Ahmad Fazri Mohamad, 26, didapati bersalah kerana cuba menendang Konstabel Ili Halim Abdul Kadir di Balai Polis Batu Rakit, 12 Disember tahun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan ketika Ili Halim bersama tiga rakan setugas menjalankan rondaan di Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit kira-kira 5 petang dan melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan.

Ketika membuat pemeriksaan, Ahmad Fazri bertindak agresif tetapi berjaya ditangkap sebelum dibawa ke balai polis Batu Rakit untuk siasatan lanjut.

Dia sekali lagi bertindak agresif dengan cuba menendang Ili Halim ketika konstabel itu menjalankan tugas mengambil sampel air kencingnya untuk tujuan pemeriksaan.

Ahmad Fazri dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda. - BERNAMA

Artikel Lain