'Fenomena Listen': Sharifah Zohra Mohon Maaf - Semasa | mStar

'Fenomena Listen': Sharifah Zohra Mohon Maaf

Gambar daripada klip video yang memaparkan insiden pertikaman lidah antara Sharifah Zohra dengan Bawani.
Gambar daripada klip video yang memaparkan insiden pertikaman lidah antara Sharifah Zohra dengan Bawani.

PETALING JAYA: Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin pada Ahad tampil memohon maaf kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) berhubung kontroversi 'fenomena listen' yang menjadi perhatian banyak pihak baru-baru ini.

Menurut Sharifah Zohra, beliau kesal apabila pusat pengajian tinggi itu dikaitkan dengan kontroversi berkenaan.

"Saya sangat kecewa apabila UUM diheret sama secara langsung dalam isu ini. Dalam kes ini, UUM merupakan pihak yang paling layak untuk saya memohon maaf secara ikhlas.

"Saya dengan ini mohon maaf kepada UUM kerana perkara ini benar-benar berada di luar kawalan saya apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikannya sebagai sesuatu yang dianggap malapetaka," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Ahad.

Selain itu Syarifah Zohra turut melahirkan kekesalahan di atas tindakan pihak tertentu yang mensensasikan isu berkenaan hingga menimbulkan kebencian orang ramai terhadapnya.

"Tindakan individu tertentu ini berjaya mewujudkan 'tsunami fenomena listen' menjadi lebih beremosi dan serius hingga menimbulkan kebencian di kalangan pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia terhadap saya tanpa alasan yang kukuh," katanya.

Syarifah Zohra menjadi topik hangat apabila klip video sepanjang 24 minit yang memaparkan insiden pertikaman lidah antara beliau dan pelajar undang-undang UUM, KS Bawani ketika Forum Suara Mahasiswa pada Disember lalu mendapat kritikan banyak pihak.

Menerusi kenyataan tiga muka surat itu, Sharifah Zohra bagaimanapun turut memaafkan Bawani dan pihak yang didakwa mengecamnya tanpa usul periksa.

"Saya maafkan gadis muda (Bawani) dalam video itu di atas apa jua tindakannya sebelum, semasa dan selepas forum tersebut.

"Saya juga memaafkan pihak-pihak yang melemparkan kata-kata kesat terhadap saya tanpa usul periksa dan mendapatkan fakta yang tepat," katanya.

Mengulas lanjut Sharifah Zohra berkata beliau turut menerima ugutan daripada banyak pihak pihak termasuk parti politik.

"Video sensasi yang bermotif politik ini telah menyebabkan saya dan keluarga tertekan, terutamanya anak saya.

"Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya kerana saya telah menerima uguran SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) tidak bertanggungjawab daripada individu, kumpulan serta parti politik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain