suria

Enam Lelaki Diserang Hanya Kerana Hutang RM30

IPOH: Seorang pemberi pinjaman dan lima rakannya cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata kayu besbol dan parang di Tambun hanya kerana menuntut hutang RM30.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP, Sum Chang Keong berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 7.30 malam di Dataran Sunway di sini, Sabtu lepas selepas penganggur berumur 20 tahun itu berang dengan tindakan pemberi pinjaman itu.

"Suspek tidak puas hati dengan cara lelaki itu (pemberi pinjaman) meminta duitnya. Suspek bersama 14 lagi rakannya menyerang pemberi pinjam wang itu yang ketika itu bersama lima lagi rakannya," katanya kepada pemberita.

Katanya, enam mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Beliau berkata berdasarkan laporan, polis menahan tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu di Taman Perpaduan, Tambun.

Katanya, enam yang lain ditahan 3 petang Isnin lepas di sebuah stesen minyak di Tambun manakala enam suspek lagi ditahan pada hari yang sama di dua lokasi berbeza di Bercham.

Keputusan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek postif dadah.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari berakhir 24 Januari ini, katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati kes itu berpunca daripada hutang dan pergaduhan itu tiada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap. - BERNAMA

Artikel Lain