suria

Tebusan Algeria: M'sia Jalin Kerjasama Dengan CIA, MI-6, Perisikan Mesir

KUALA LUMPUR: Malaysia menjalin kerjasama dengan tiga agensi perisikan iaitu di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir untuk mengetahui keadaan dua lagi rakyat negara ini, yang belum dikenali, dalam insiden tebusan di timur Algeria, Afrika Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama itu melibatkan Central Intelligence Agency (CIA) Amerika Syarikat, MI-6 Britain dan agensi perisikan Mesir.

Beliau berkata, maklumat terkini masih tidak nyata, menyebabkan kerajaan memilih untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk agensi perisikan, demi mengetahui keadaan rakyat negara ini yang menjadi tebusan di sana.

"Saya pantau secara dekat dan kita mempunyai rangkaian dengan badan-badan risik tak semestinya di Algeria, tapi berdekatan dengannya (Algeria). Saya tak nafikan laporan yang datang itu tak begitu jelas bergantung kepada sumber maklumat yang kita terima.

"Saya juga dapat laporan daripada unit anti keganasan kita. Tapi saya akui bahawa maklumat yang kita terima itu ada yang bercanggah. Kita tidak tahu apa yang jelas dalam insiden ini tetapi kedudukan rakyat kita sentiasa menjadi pertimbangan," katanya pada sidang media selepas program Rondaan bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan Ampang di sini Ahad.

Dalam kejadian itu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, di Timur Algeria menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.

Insiden tebusan itu percayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak Islam di Mali.

Sehingga kini tiga daripada lima rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat iaitu K.Ravi, Lau Seek Chiang, dan Patrict Purait Awang yang akan kembali ke tanah air dalam waktu terdekat manakala dua lagi belum dikenal pasti.

Terbaru, Kedutaan Malaysia di Algiers, Algeria mendapat maklumat tentang kemungkinan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan berikutan serangan kumpulan militan di kilang pemprosesan gas di In Amenas, maut, manakala nasib seorang lagi belum diketahui. - BERNAMA

Artikel Lain