suria

Muhyiddin Mahu Budaya Sukan Di Sekolah Ditingkatkan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bergambar bersama pegawai Akademi Sukan Amerika Syarikat dan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Antarabangsa 2012 dari Akademi Sukan Amerika Syarikat. -Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bergambar bersama pegawai Akademi Sukan Amerika Syarikat dan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Antarabangsa 2012 dari Akademi Sukan Amerika Syarikat. -Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bergambar bersama pegawai Akademi Sukan Amerika Syarikat dan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Antarabangsa 2012 dari Akademi Sukan Amerika Syarikat. -Foto BERNAMA

MOBILE (Alabama): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah-sekolah di Malaysia perlu lebih bijaksana dan kreatif dalam usaha mengembangkan budaya sukan dalam kalangan pelajar selaras dengan pelaksanaan dasar '1 Murid, 1 Sukan'.

Sambil mengakui ini mungkin mudah dilakukan bagi sekolah yang sudah mempunyai infrastruktur sewajarnya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ia tidak mustahil dilakukan sekolah yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian.

"Sekolah yang tidak ada (kemudahan), dia boleh buat, contohnya, rentas desa atau sukan-sukan lain yang sesuai, guna pakai juga dewan yang ada seperti di Majlis Perbandaran atau sekolah berhampiran, universiti dan sebagainya.

"Terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan sekolah itu sendiri untuk mencari ruang dan peluang bagi meluaskan kegiatan sukan," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari beliau ke Alabama, Amerika Syarikat.

Ia menyaksikan Muhyiddin melawat Sekolah Tinggi Daphne yang diiktiraf sebagai sekolah berprestasi tinggi oleh Jabatan Pelajaran Amerika Syarikat, dan menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Antarabangsa 2012 dari Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA) pada Khamis.

Beliau berkata pembangunan sukan di Malaysia dan usaha melahirkan juara sukan harus mempunyai kaitan dengan pembangunan sukan di sekolah.

"Tapi kalau sekolah tak ada sukan, sukan mati di sekolah, maka cara kita nak melahirkan juara sukan akan menjadi lebih sukar," jelas Muhyiddin yang memperkenalkan dasar '1 Murid, 1 Sukan' pada 2010 ke arah menyuburkan semula budaya sukan di sekolah.

Ia antara lain membawa kepada cabaran pelaksanaan dari segi menyediakan guru terlatih di bidang pendidikan jasmani selain penyediaan kemudahan seperti padang, gelanggang sukan dan kelengkapan.

Muhyiddin menjelaskan adalah menjadi hasrat Kementerian Pelajaran untuk menyediakan guru pendidikan jasmani terlatih di semua 10,000 sekolah di seluruh negara, dan untuk itu ia telah menjalin kerjasama dengan USSA yang berpangkalan di Daphne dekat sini.

Untuk peringkat awal, 1,018 guru kini mengikuti Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani yang diadakan dengan kerjasama USSA.

Dalam ucapannya pada majlis penganugerahan ijazah kehormat yang berlangsung di kampus USSA, Muhyiddin berkata sukan merupakan gabungan kuasa berkesan terutama dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

"Saya percaya dengan dasar yang tepat yang mempunyai kepentingan untuk sukan sebagai satu kuasa gabungan, kita boleh memanfaatkan nama baik itu untuk membina sebuah negara yang lebih aman, bersatu padu dan berdaya tahan," katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa tidak syak lagi sukan menyumbang kepada usaha melahirkan rakyat Malaysia yang sihat dan seterusnya meningkatkan lagi produktiviti.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Operasi USSA Dr T.J. Rosandich berkata bapanya, Dr Thomas P. Rosandich, terbabit dalam pembangunan sukan di Malaysia sejak Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Universiti sukan itu ditubuhkan pada 1972 dengan Dr Thomas P.Rosandich menjadi Presiden pertama, jawatan yang masih disandangnya sehingga hari ini.

"Kami melakukan banyak kerja di Malaysia dan, sebenarnya, lawatan pertama saya ke negara itu adalah pada 1983 dan kami buat pelan induk bagi pembangunan sukan di Sabah," kata anaknya. -BERNAMA

Artikel Lain