suria

Janji 20 % Royalti Minyak Bukti Pembangkang Tak Faham Industri Petroleum

TAWAU: Janji menaikkan royalti minyak antara 15 hingga 20 peratus kepada Sabah yang ditabur pakatan pembangkang sekiranya mereka memerintah menunjukkan pembangkang tidak memahami selok-belok industri petroleum.

Sambil menyifatkan ia sebagai janji bohong, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata sebagai jurutera yang pernah berkerja dengan syarikat petroleum antarabangsa, beliau mengetahui bahawa industri petroleum berisiko tinggi dan memerlukan modal pelaburan yang amat besar.

"Setiap hasil daripada 100 tong minyak Sabah yang dikeluarkan, lima peratus pergi kepada negeri Sabah dan lima peratus lagi kepada kerajaan persekutuan. Sebanyak 45 peratus untuk mencari gali minyak dan 45 peratus lagi adalah keuntungan (kasar) yang dikongsi Petronas dengan rakan syarikat cari gali seperti Shell dan Esso. "(Selepas pembahagian hasil dan membayar cukai) Hasil yang diperoleh Petronas kira-kira 16 peratus. Sekiranya (royalti Sabah) diberi lagi 10 peratus, Petronas akan tutup," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan Elaun Sara Hidup kepada 504 nelayan Tawau di sini, Sabtu.

Tawfiq berkata sebagai sebuah daripada syarikat petroleum terbaik di dunia, Petronas perlu terus kukuh kerana ia amat penting kepada Malaysia untuk masa depan negara. Sementara itu, Tawfiq berkata rakyat Malaysia hari ini amat beruntung kerana ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cukup berwibawa untuk memacu pembangunan negara dan menjadikan negara sebagai tumpuan pelabur antarabangsa.

"Semakin banyak pelaburan masuk, semakin banyak peluang pekerjaan diwujudkan, semakin rancaklah aktiviti perniagaan, semakin banyaklah cukai boleh dikutip kerajaan, semakin banyaklah infrastruktur asas dan bantuan boleh disediakan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata rakyat negara ini perlu mengambil iktibar daripada banyak negara di dunia hari ini yang bergolak kerana politiknya tidak stabil menyebabkan pelabur tidak berani masuk ke negara berkenaan sekaligus melumpuhkan ekonomi dan membawa kesengsaraan kepada rakyat.

Sehubungan itu, Tawfiq mengingatkan rakyat supaya tidak mencuba-cuba menukar sistem dan kerajaan sedia ada kerana sistem dan kerajaan sekarang sudah cukup baik untuk merealisasikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Mengenai pemberian elaun kepada nelayan, Tawfiq berkata selain elaun sara hidup, nelayan juga diberi subsidi diesel dan petrol serta insentif tangkapan ikan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). -BERNAMA

Artikel Lain