suria

Belia Lantang Bersuara Tanpa Jadi Pemilih Tidak Beri Makna - Shabery

PETALING JAYA: Kelantangan golongan belia meluahkan pandangan dan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu tidak membawa erti sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pemilih dalam proses pilihan raya, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata rata-rata golongan muda yang lantang bersuara menghuni di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak, namun perjuangan dan kelantangan mereka tidak diterjemahkan dengan mendaftar sebagai pemilih.

Ahmad Shabery berkata kuasa undi sebanyak 52 peratus yang dimiliki golongan itu daripada lebih 15 juta pemilih berdaftar ketika ini jelas menunjukkan belia mempunyai kuasa yang jitu dalam menentukan hala tuju negara.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) kali ke-61 di sini Sabtu.

Hadir sama Presiden MBM Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Statistik pemilih bagi suku ketiga 2012 menunjukkan sejumlah 2,653,689 belia yang layak mengundi belum berdaftar sebagai pemilih daripada keseluruhan 8,306,167 yang layak berdaftar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu turut mengingatkan golongan muda agar tidak memperjudikan masa depan mereka dengan memilih kerajaan yang tidak mempunyai pengalaman dalam mentadbir. -BERNAMA

Artikel Lain