suria

Tun M Harap Militan Bebaskan Dua Tebusan Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap dua tebusan rakyat Malaysia yang ditahan oleh militan di Algeria berada dalam keadaan selamat dan dibebaskan dengan kadar segera.

Beliau berkata insiden penculikan itu akan memberi kesan negatif kepada imej negara Islam.

"Penculikan ini tidak baik untuk imej negara Islam. Kita harap militan itu akan segera bebaskan dua rakyat Malaysia dan tebusan lain dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Yayasan Keamanan Global Perdana di Taman Tasek Perdana pada Jumaat.

Rakyat Malaysia merupakan antara tebusan yang kini menjadi tahanan di pangkalan gas di Algeria, lapor saluran berita Perancis, France 24 pada Rabu.

Satu kumpulan militan, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Mauritania iaitu Alakhbar sebagai berkata, penculikan itu merupakan pembalasan ke atas campur tangan tentera Perancis terhadap puak bersenjata yang merampas kawalan di utara Mali.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menyifatkan pelawaan Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Palestin merupakan satu pengiktirafan yang cukup besar kepada sumbangan Malaysia terhadap masalah rakyat Palestin. “Saya fikir kalau dia (Najib) lapang dia patut pergi lah..Cuma sekarang ini dia sibuk dengan persiapan pilihan raya mungkin tunggu selepas itu boleh la dia pergi ke sana. Ini satu bentuk pengiktirafan kepada Malaysia,” kata Dr Mahathir. Disember lalu, Ismail Haniyeh telah menjemput Najib melawat Gaza pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas segala bantuan yang diberikan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Israel bukan sahaja perlu memohon maaf sebaliknya mereka perlu memulangkan tanah rakyat Palestin yang dirampas 30 tahun lalu.

Ini bukan cara manusia…manusia tidak buat cara ini…Kalau mereka hendak diiktiraf seperti manusia mereka perlu berlakuan seperti manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Timbalan Menteri Luar Israel, Daniel Ayalon pada Khamis yang memohon maaf secara terbuka kepada Turki berhubung insiden serangan tentera Zionis ke atas kapal Turki Mavi Marmara.

Dalam insiden 31 Mei 2010, kapal Mavi Marmara yang membawa sukarelawan serta bantuan makanan dan perubatan untuk rakyat Gaza di Palestin, diserang tentera Israel mengakibatkan sembilan sukarelawan terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua 12 sukarelawan Malaysia di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan beberapa ketika oleh tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.

Artikel Lain