suria

RCI Sabah: Status Kerakyatan Diberi Mengikut Undang-Undang - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian status kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah tidak menjadi kesalahan kerana ia dibuat mengikut undang-undang.

Katanya, pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai perkara itu perlu dilihat secara positif kerana ia juga menunjukkan keihlasan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan masalah di Sabah.

"Keputusan RCI adalah tanda keikhlasan kita dalam menyelesaikan masalah ini.

"Selagi ia dibuat mengikut undang-undang ia bukan menjadi isu yang besar," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di sini, Khamis malam.

Najib berkata keputusan yang dibuat telah melalui banyak proses dan melibatkan ramai saksi.

Justeru beliau berkata perkara ini tidak perlu diperbesarkan.

Katanya pemberian status kerakyatan turut berlaku di negara lain.

"Biar pihak suruhanjaya yang buat kerja itu dan menyelesaikannya" katanya.

Tambahnya, penubuhan RCI adalah permintaan daripada parti komponen BN Sabah sendiri yang mahukan perkara ini diselesaikan dan beliau menghormati permintaan itu.

"Pujian harus diberikan kepada BN. Ini menunjukkan kita prihatin dan ikhlas menyelesaikan masalah rakyat Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengakui mengetahui mengenai proses pemberian status kerakyatan kepada pendatang asing di Sabah.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata status warganegara dibuat selepas mengambil kira syarat-syarat kelayakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Isnin lalu, RCI memulakan pendengaran awam pertamanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah sehingga esok. Prosiding seterusnya akan diadakan pada 28 Jan hingga 1 Feb dan mulai 22 Feb hingga 27 Feb.

Artikel Lain