suria

Polis Selangor Berkas 12 Rakyat Asing Terbabit 'Macau Scam'

SHAH ALAM: Polis Selangor memberkas sembilan rakyat China dan tiga warga Taiwan dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Ampang Utama pada Selasa lepas, dipercayai pusat kegiatan sindiket seperti 'Macau Scam'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor ACP Chong Mun Phing berkata polis juga merampas beberapa unit komputer riba, modem, telefon, telefon bimbit serta helaian kertas bertulisan Cina dalam serbuan pukul 11.40 malam itu.

Semua suspek berusia antara 19 dan 36 tahun terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan pusat itu dipercayai beroperasi sejak dua minggu lepas, katanya pada sidang media, di sini, Jumaat.

Menurut Chong, suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita warga China, serta dua lelaki dan seorang wanita Taiwan ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama Kedutaan China serta Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei di Malaysia, katanya.

Mengulas modus operandi sindiket, Wong berkata mereka menelefon mangsa di China dan Taiwan dengan menyamar pegawai pendakwa raya dari jabatan siasatan jenayah kewangan di China.

Mereka akan memberitahu mangsa, akaun bank mangsa sedang disiasat kerana terbabit pengubahan wang haram dan menyarankan agar wang dipindah ke akaun lain untuk pengesahan, serta memberi jaminan wang itu dikembalikan ke akaun asal dalam tempoh dua jam, katanya.

Mangsa juga diugut akaun akan dibekukan dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk diaktifkan semula jika mereka tidak berbuat demikian.

Pada masa sama Wong mengingatkan orang awam agar berhati-hati dengan panggilan telefon daripada pihak yang mendakwa pegawai polis atau Kementerian Kewangan.

Beliau memberi contoh kes seorang ahli perniagaan berusia 28 tahun dari Ampang yang membuat laporan polis mendakwa kehilangan RM64,000 selepas menerima dua panggilan telefon kononnya daripada Kementerian Kewangan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ahli perniagaan itu membuat semakan dan mendapati nombor pemanggil merupakan talian umum IPK Kuala Lumpur dan kementerian berkenaan sebelum memindahkan semua wangnya ke akaun yang ditetapkan.

Menurut Wong, sindiket menggunakan aplikasi 'voice over internet protokol' (VOIP) untuk meniru nombor polis dan kementerian terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain