suria

NGO Lapor Polis Dakwa Pelajar Islam Diberi Bible Di Hadapan Sekolah

GEORGE TOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Mukabuku Pulau Pinang, pada Jumaat membuat laporan polis mendakwa dua lelaki mengedar kitab Bible kepada pelajar beragama Islam, di hadapan sebuah sekolah di Jelutong di sini.

Pengerusi persatuan itu, Salleh Ismail, berkata, pihaknya mempunyai bukti bergambar dan video dua lelaki itu memberi Bible kecil berbahasa Inggeris kepada pelajar Melayu di sekolah menengah berkenaan.

"Kami harap pihak bertanggungjawab menyiasat kegiatan ini kerana ia melibatkan akidah umat Islam terutama generasi muda," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jelutong.

Beliau berkata, pihaknya membuat laporan polis kerana aktiviti pengedaran Bible kepada pelajar Islam adalah kegiatan berdakwah agama lain kepada umat Islam dan ia menyalahi Perkara 11 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam. - BERNAMA

Artikel Lain