suria

Langkah Kurangkan Tar, Nikotin Dalam Rokok Dilaksana Pertengahan Tahun

SEREMBAN: Langkah mengurangkan kandungan tar dan nikotin dalam rokok akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini bagi mengatasi penyakit berpunca daripada bahan tembakau, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, perkara ini telah dibincang bersama syarikat pengeluar tembakau dan ia dijangka dilaksanakan Jun ini selepas pengumuman dibuat pada Mei.

"Ia akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh yang kita akan tetapkan nanti. Cadangan ini turut dibuat bagi menyasar usaha kerajaan mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pogram Magnum Cares 2013 di Pusat Hemodialisis Mawar di sini, Jumaat.

Menerusi program itu, 31 rumah kebajikan kanak-kanak dan orang-orang tua termasuk pusat hemodialisis menerima sumbangan berjumlah RM76,000 daripada Magnum Cares.

Liow berkata, kementeriannya juga meminta syarikat tembakau mendaftar setiap jenama rokok keluaran mereka bagi memenuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia, seperti menyatakan kandungan tar dan nikotin dalam rokok mereka.

"Langkah pengurangan dibuat secara berperingkat sebagai contoh, daripada 20mg tar kepada 15mg seterusnya 10mg dan pengurangan kandungan ini kita akan umumkan Mei nanti," katanya.

Mengenai rawatan hemodialisis, beliau berkata, dari tempoh 2001 hingga 2012, kerajaan memperuntukkan RM216.5 juta dalam bentuk subsidi rawatan hemodialisis kepada badan bukan kerajaan.

"Untuk tahun 2012 sahaja, kerajaan membelanjakan RM21 juta untuk 3,209 pesakit di 114 pusat dialisis, sementara 57 badan bukan kerajaan telah mendapat bantuan tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain