suria

Fomca, PPIM Sambut Baik Rebat Elektrik Dilanjutkan, Ringan Beban Golongan Miskin

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyambut baik keputusan kerajaan melanjutkan tempoh rebat elektrik sehingga hujung tahun ini.

Pengarah Komunikasinya, Mohamad Yusof Abdul Rahman berkata, perkara tersebut sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dalam menampung kos hidup semasa.

"Walaupun tidak ramai yang menikmati keistimewaan tersebut setidak-tidaknya ia memberi kesan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

"Mungkin di bandar tidak ramai yang merasai faedah ini, namun saya percaya di kawasan luar bandar masih ramai yang menggunakan tenaga elektrik kurang dari jumlah tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini Jumaat.

Beliau mengulas keputusan kerajaan melanjutkan tempoh bagi penggunaan elektrik RM20 dan ke bawah kepada pengguna domestik yang layak sehingga hujung tahun ini.

Tambahnya, peluang tersebut juga mendorong pengguna untuk lebih berjimat cermat dalam penggunaan seharian.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berharap pengguna terus berjimat cermat dan menggunakan elektrik dengan cekap.

“Kita berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kos hidup seharian, namun pengguna juga perlu beringat ia hanya tempoh sementara.

“Jangan bila rebat ini ditarik balik atau tempoh sudah tamat ada pihak yang melenting dan tidak puas hati,” katanya yang mahu faedah ini digunakan sebaik mungkin.

Kerajaan mula memperkenalkan program pengecualian membayar bil elektrik bulanan berjumlah RM20 dan ke bawah bermula Oktober 2008.

Langkah itu dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka.

Artikel Lain