suria

Bawani Tiada Niat Sertai Politik

KUALA LUMPUR: Pelajar jurusan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), K.S. Bawani (gambar) tidak berhasrat menyertai mana-mana parti politik selepas video yang digelar fenomena 'Listen' membabitkan dirinya dan Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin tersebar di Internet.

Sebaliknya, Bawani berkata, dia akan memberi tumpuan terhadap perjuangannya dalam menuntut pendidikan percuma dan berkualiti di negara ini.

"Buat masa ini, fokus saya hanyalah ingin berjuang untuk rakyat. Sebagai anak muda, setiap orang mempunyai ideologi masing-masing. Saya percaya dengan apa yang saya lakukan," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur -Selangor di sini, Jumaat.

Jelas pelajar berusia 27 tahun, dia juga tidak merancang untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tiada motif ke arah itu. Perjuangan saya hanya untuk rakyat. Kalau bagi kerusi Pekan...boleh dipertimbangkanlah," katanya dalam nada berseloroh.

Bagaimanapun, gadis kelahiran Kampar, Perak itu tidak akan menolak pelawaan daripada mana-mana parti politik untuk menyuarakan pandangannya mengenai isu tersebut.

"Mungkin saya boleh pergi, tiada masalah sebab saya pergi untuk bagi pandangan saja. Saya tak akan membawa ideologi mana-mana parti politik kecuali ideologi sosialisme," katanya.

Bawani yang juga merupakan penyelaras Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma pada 2009 tidak menolak kemungkinan akan menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada masa hadapan.

"Saya belum lagi menjadi ahli PSM tetapi mungkin pada masa depan. Saya sentiasa menyokong perjuangan parti ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia sengaja bertindak sedemikian untuk mendapat perhatian, Bawani berkata, apa yang dirakam dalam video selama 24 minit itu merupakan reaksi spontannya.

"Ia reaksi spontan saya terhadap forum itu. Saya tidak merancang apa-apa," katanya.

Klip tersebut yang dirakam pada forum bertajuk 'Seiringkah Mahasiswa dan Siswi dengan Politik' menunjukkan Sharifah, salah seorang ahli panel lantang menegur Bawani, yang bangun menyuarakan pandangannya.

Tindakan tersebut menyebabkan Sharifah dikecam pelbagai pihak dan didesak memohon maaf secara terbuka kepada Bawani.

Namun, Bawani tidak meminta Sharifah untuk memohon maaf kepadanya.

"Pada hari ini, saya tiada niat untuk menuntut Sharifah supaya meminta maaf. Itu bukan tujuan saya. Ia tidak penting," katanya.

Artikel Lain