suria

Banjir Besar Di Jakarta: 48 Pelajar M'sia Di Universiti Trisakti Dipindahkan

JAKARTA: Sejumlah 48 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Trisakti telah dipindahkan ke Dewan Malaysia, di Jakarta Pusat, apabila kediaman mereka di kawasan Roxy, Jakarta Barat, dinaiki air sehingga satu meter.

Education Malaysia (EM) Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di sini memindahkan kumpulan pertama 24 pelajar terdiri 20 perempuan dan empat lelaki malam semalam, selain membantu memindahkan seorang pelajar perempuan Indonesia yang merupakan rakan serumah pelajar Malaysia terbabit.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dan Kelab Umno Indonesia turut membantu usaha memindahkan para pelajar terbabit.

Pengarah EM Indonesia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan supaya semua pelajar Universiti Trisakti dipindahkan ke Dewan Malaysia bagi memastikan mereka tidak menghadapi masalah terputus bekalan makanan, kerana kawasan kediaman mereka masih dinaiki air.

Terdapat lebih 200 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Trisakti namun kira-kira 80 daripada pelajar itu tidak tinggal di kediaman mereka sekarang kerana sedang bertugas di beberapa hospital di luar kawasan di bawah program latihan klinikal.

"Tiap seorang daripada pelajar Malaysia dari universiti itu telahpun dihubungi oleh pihak kami dan mereka semua menyatakan berada dalam keadaan selamat. Bagaimanapun pihak EM telah menasihatkan mereka semua supaya tinggal sementara di Dewan Malaysia bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan di kawasan kediaman mereka," kata Dr Juzhar ketika dihubungi di sini Jumaat.

Warden Dewan Malaysia, Kamarulazhar Abd Salam yang dihubungi pula berkata, usaha memindahkan pelajar Malaysia di Universiti Trisakti diteruskan hari ini dan pagi ini 17 orang lagi pelajar akan masuk ke Dewan Malaysia.

Pihak Dewan Malaysia menyediakan makanan dan minuman kepada para pelajar terbabit, katanya.

Kamarulazhar berkata, pelajar perempuan Indonesia yang ditempatkan di dewan itu tengah malam tadi, telah dibawa pulang oleh keluarganya pada Jumaat.

Yang Dipertuan PKPMI Pusat, Ahmad Nabieh Abqori Rahmat pula berkata pelajar Malaysia yang terbabit dalam pemindahan itu merupakan pelajar Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian Universiti Trisakti.

Pada masa ini universiti itu telah menutup kampus secara sementara disebabkan keadaan banjir yang agak buruk dan jika keadaan pulih, kuliah mungkin dimulakan Isnin nanti, katanya.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan yang meninjau keadaan para pelajar berkenaan di Dewan Malaysia lewat petang Jumaat menasihatkan mereka supaya tinggal di situ sehingga keadaan banjir benar-benar pulih.

Langkah yang diambil oleh pihak Kedutaan Besar dan EM adalah demi menjaga keselamatan mereka daripada terlibat dalam sebarang kejadian tidak diingini, katanya.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia akan membantu EM Indonesia menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pelajar untuk mengikuti kuliah di kampus bila universiti itu dibuka semula nanti.

Presiden Kelab Umno Jakarta, Farisan Khalidi Mohamad Khalid berkata, dia bersama-sama Yang Dipertua PKPMI cawangan Jakarta Asydad Azharudin, Pengerusi Biro Kebajikan PKPMI Jakarta Ahmad Fikri Sahak dan Kamarulazhar telah memaksa pelajar terbabit berpindah.

Mereka pada mulanya enggan berpindah kerana fikir mereka akan selamat jika tinggal di bahagian atas rumah, katanya.

Banjir yang berlaku sejak Selasa lalu setakat ini telah meragut nyawa 12 orang dan sebahagian daripada mereka meninggal dunia kerana terkena kejutan elektrik apabila rumah mereka dinaiki air. - BERNAMA

Artikel Lain