suria

Syabas Bukan GLC Milik Kerajaan Negeri Selangor - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bukan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun kerajaan negeri mempunyai pemilikan saham sebanyak 30 peratus dalam Syabas melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) namun ia tidak mempunyai kuasa mutlak dalam syarikat pengurusan air berkenaan.

"Dalam Syabas pemegang saham terbesar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan. KDEB hanya pegang 30 peratus dan tidak boleh buat apa-apa keputusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Mengenai dakwaan Syabas berhubung tindakan kerajaan negeri membekukan Perbelanjaan Modal (Capex) yang menyebabkan usaha Syabas menaik taraf perkhidmatan air di Selangor terjejas, Abdul Khalid berkata sebarang usaha baik pulih yang dijalankan syarikat pengurusan air itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

"Dalam perjanjian Capex ia perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri kerana secara teorinya usaha baik pulih yang dijalankan oleh Syabas adalah melibatkan aset dimiliki oleh kerajaan negeri.

"Sebab itu kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada usaha tersebut boleh dijalankan atau tidak," katanya.

Beliau berkata sebarang usaha baik pulih, ada prosedur yang perlu diikuti ia perlu ditender dan tidak boleh dijalankan secara rundingan terus dengan kerajaan negeri.

"Dalam setengah kes kerajaan negeri sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk melaksanakan Capex. Jadi saya tidak lihat ia sebagai satu isu di sini,” ujarnya. Beliau berkata apa yang menjadi isu pada ketika ini adalah adalah pengurusan Syabas sangat lemah dan mereka perlu menilai kembali program air tidak terawat yang dijalankan. “Sehingga hari ini mereka (Syabas) tidak pernah membentangkan kepada saya mengenai program untuk mengurangkan air tidak terawat mereka daripada 30 kepada 15 peratus seperti mana yang dipersetujui dengan kami sebelum ini,” katanya. Abdul Khalid menjelaskan beliau mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memanggil Syabas bagi mengetahui status Capex mereka dalam usaha mengurangkan air tidak terawat.

Pada Selasa, Syabas mendakwa sikap kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambaikan perkhidmatan syarikat dengan pembekuan Capex menyebabkan krisis air yang semakin buruk di Selangor.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas Ir.V.Subramaniam dilaporkan berkata tindakan seperti itu belum pernah terjadi di mana sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel Lain