suria

Saman Utusan: Anggota Parlimen Shah Alam Kekal Dapat RM60,000

PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan pada Khamis mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar RM60,000 sebagai ganti rugi kepada anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad kerana menerbitkan artikel bersifat memfitnah di akhbar itu.

Keputusan itu dibuat panel hakim lima anggota diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Panglima Richard Malanjum yang menolak permohonan semakan oleh Utusan Melayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Utusan Melayu membayar ganti rugi itu.

Panel hakim lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, juga mengarahkan Utusan membayar kos guaman RM10,000 kepada Khalid Samad.

Utusan Melayu, yang diwakili peguam Mohana Kumar menegaskan wujud ketidakadilan kerana Mahkamah Rayuan melucutkan hak syarikat untuk lanjutan masa bagi memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi) di Mahkamah Rayuan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.

Sementara itu, peguam Azhana Mohd Khairudin yang mewakili Khalid berhujah tidak berlaku ketidakadilan kepada Utusan Melayu. Anggota Parlimen PAS itu menamakan Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak serta penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Utusan Melayu, berhubung penyiaran dan pencetakan perkataan berbaur fitnah terhadapnya di muka depan Utusan Malaysia pada 11 Sept 2009.

Defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan penyiaran artikel berkenaan dibuat berdasarkan komentar Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkfli Noordin dalam blognya pada 9 Sept 2009.

Pada 30 Sept 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan saman Khalid dan memutuskan Khalid dapat membuktikan kesnya bahawa beliau telah difitnah dan dimalukan oleh defendan dalam artikel bertajuk 'Zulkifli bidas Pak Janggut'.

Pada 14 Oktober 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas membuat taksiran kerosakan yang dialami, memberi award itu kepada Khalid.

Pada 24 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Utusan Melayu selepas memutuskan notis rayuan syarikat itu tidak kukuh. Mahkamah membenarkan permohonan Khalid untuk membatalkan notis rayuan Utusan Melayu dengan alasan ia tidak kukuh kerana gagal mematuhi Seksyen 68(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen itu menyatakan rayuan untuk tuntutan kurang daripada RM250,000 kebenaran mesti diperoleh daripada mahkamah untuk mengemukakan rayuan. Utusan Melayu mengambil pendirian bahawa ia tidak memerlukan kebenaran untuk merayu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2011 dalam kes Harcharan Singh, Sohan Singh lawan Ranjit Kaur S.Gean Singh. -- BERNAMA

Artikel Lain