suria

Kenyataan Khairy Nafi Tarik Balik Dakwaan Terhadap Anwar Disifatkan Hina Mahkamah - Azmin

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menafikan beliau menarik balik dakwaan yang dilemparkan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah yang diselesaikan di luar mahkamah sebagai satu perbuatan menghina mahkamah.

"Tindakan Khairy yang berdolak-dalik dengan persetujuan syarat penyelesaian yang dimeterai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu boleh dikira sebagai menghina mahkamah.

"Kita akan teliti secara terperinci kenyataan beliau (Khairy) dalam tempoh 24 jam mengenai isu ini. Kita juga akan mendapatkan nasihat peguam sama ada untuk memfailkan tindakan menghina mahkamah ke atas beliau," kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kepada pemberita di ibu pejabat parti itu pada Khamis.

Azmin turut mengesahkan bahawa isu berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR yang diadakan pada malam Rabu.

Kes saman fitnah RM100 juta itu difailkan oleh Anwar terhadap Khairy pada 7 September 2007 ekoran kenyataan didakwa berunsur fitnah dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Bagaimanapun pada Rabu, kes saman tersebut diselesaikan selepas mendapat persetujuan bersama di luar mahkamah.

Azmin menjelaskan bahawa penyelesaian kes itu bukan atas dasar rundingan, memandangkan pihak mereka bersedia untuk perbicaraan penuh.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai isu kalimah Allah, Azmin berkata PKR konsisten dengan pendirian kolektif bersama dalam Pakatan Rakyat seperti yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Januari lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa pandangan Majlis Syura Ulama PAS perlu dihormati namun ia hanya digunapakai oleh ahli-ahli PAS sahaja.

“Isu ini bagi saya selesai. Pendirian PAS dan PKR konsisten dan tidak berubah seperti dalam Majlis Pimpinan pada 8 januari lalu. Pendirian kita tidak berubah.

“PKR berpegang dengan dasar kolektif dan terikat dengan polisi Pakatan Rakyat,” katanya.

Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Januari lalu sepakat dan bersetuju bahawa penggunaan kalimah 'Allah' wajar diberikan untuk semua agama, dengan syarat ia 'tidak disalahgunakan'.

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kalimah 'Allah' adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Bagaimanapun, Majlis Syura PAS dalam mesyuaratnya Ahad lalu memutuskan kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan dalam bible Bahasa Malaysia atau mana-mana bahasa kerana ia tidak mencapai makna sebenar perkataan Allah seperti yang termaktub dalam Al-Quran.

Artikel Lain